Abramovich, 6 warga Rusia lain dikenakan sekatan di UK

Abramovich, 6 warga Rusia lain dikenakan sekatan di UK

Pemilik Chelsea Football Club, Roman Abramovich hari ini dibekukan asetnya selain dikenakan sekatan perjalanan dalam sekatan terbaru kerajaan UK terhadap oligarki Rusia.

Pemilik Chelsea Football Club Roman Abramovich dibeku aset selain dikenakan sekatan perjalanan oleh kerajaan Britain hari ini.
LONDON:
Pemilik Chelsea Football Club, Roman Abramovich hari ini dibekukan asetnya selain dikenakan sekatan perjalanan dalam sekatan terbaru kerajaan UK terhadap tujuh oligarki Rusia.

Kerajaan UK mengumumkan, individu lain yang dikenakan sekatan termasuk usahawan terkemuka Oleg Deripaska; Ketua Pegawai Eksekutif Rosneft Igor Sechin; dan ketua Gazprom, Alexei Miller.

Spekulasi sejak kebelakangan ini menyebut sama ada Abramovich akan turut terkesan dalam tindakan diambil terhadap bilionair Rusia yang dilihat mempunyai hubungan rapat dengan Kremlin.

Abramovich mengumumkan minggu lalu beliau akan menjual Chelsea, selepas membeli pasukan Liga Perdana Inggeris itu pada 2003.

Kerajaan UK, yang menjangkakan beliau bernilai GBP9.4 bilion, berkata Chelsea diberi sedikit kelonggaran apabila dibenarkan untuk terus beroperasi.

Menurut kerajaan, lesen khas diberikan bagi membolehkan beberapa aktiviti berkaitan bola sepak.

“Ini termasuk izin untuk kelab itu terus menyertai perlawanan dan aktiviti berkaitan bola sepak lain, yang seterusnya akan melindungi Liga Perdana, piramid bola sepak, peminat setianya dan kelab lain,” tambah kenyataan itu.

Deripaska pernah menjadi rakan niaga Abramovich, manakala Sechin digambarkan sebagai “orang kanan” Presiden Rusia Vladimir Putin.

Empat lagi individu – Miller; Pengerusi VTB Bank Andrey Kostin; Presiden Transneft Nikolai Tokarev; dan Pengerusi Bank Rossiya Dmitri Lebedev – juga sebahagian daripada golongan dalaman pemimpin itu.

Perdana Menteri Boris Johnson berkata, sekatan terbaru itu adalah “langkah terkini UK dalam menunjukkan sokongan tidak berbelah bagi untuk rakyat Ukraine”.

Setiausaha Luar Negar Liz Truss berkata: “Sekatan hari ini sekali lagi menunjukkan golongan oligark dan kleptokrat tiada tempat dalam ekonomi atau masyarakat kita.

“Memandangkan hubungan rapat mereka dengan Putin, pasti mereka bersubahat dalam tindakan agresif beliau.Tangan mereka dibasahi darah rakyat Ukraine. Mereka sepatutnya malu.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.