
Syarikat nuklear Ukraine, Energoatom berkata hari ini, pertempuran menyukarkan pembaikan segera dibuat terhadap talian kuasa voltan tinggi ke loji itu, yang dirampas pasukan bersenjata Rusia selepas Kremlin melancarkan serangan terhadap Ukraine pada 24 Feb.
Energoatom berkata, kira-kira 20,000 bahan bakar terpakai berada di Chernobyl yang tidak dapat disejukkan disebabkan bekalan elektrik yang terputus.
Menurut kenyataannya, ini mungkin membawa kepada pelepasan bahan radioaktif ke alam sekitar, dengan “awan radioaktif mungkin ditiup angin ke rantau lain di Ukraine, Belarus, Rusia dan Eropah.”
Tanpa kuasa elektrik, sistem pengudaraan di loji itu juga tidak akan berfungsi seterusnya mendedahkan kakitangannya kepada dos radiasi yang berbahaya, tambah kenyataan itu.
Semalam, pemerhati nuklear PBB memberi amaran bahawa sistem memantau bahan nuklear di Chernobyl telah berhenti memberikan data.
Lokasi yang masih mengandungi radioaktif tinggi akibat bencana nuklear terburuk dunia itu terletak kira-kira 100km dari Kyiv.
Reaktor keempat loji itu meletup pada April 1986 ketika ujian keselamatan yang menyebabkan awan radiasi tersebar di Eropah.