Bali sambut semula pelancong antarabangsa selepas syarat kuarantin dilonggarkan

Bali sambut semula pelancong antarabangsa selepas syarat kuarantin dilonggarkan

Di bawah program perintis, pelancong yang divaksin lengkap kini tidak perlu menjalani kuarantin wajib tiga hari, namun perlu berada di pulau itu selama empat hari.

Pelancong tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Bali di Denpasar bulan lalu. (Gambar AP)
KUTA:
Pulau peranginan Indonesia, Bali, hari ini menyambut kemasukan pelancong asing selepas peraturan berkaitan Covid-19 dilonggarkan untuk tidak lagi mewajibkan kuarantin.

Bali menerima 6.2 juta pelancong asing pada 2019, setahun sebelum wabak melanda. Namun hanya beberapa pelawat kembali ke pulau peranginan itu sejak dibuka semula kepada pelancong pada Oktober disebabkan kekangan akibat syarat kuarantin dan peraturan lain.

Di bawah program perintis, pelancong yang divaksin lengkap kini tidak perlu menjalani kuarantin wajib tiga hari, namun perlu berada di pulau itu selama empat hari.

“Saya rasa ini bagus untuk pulau ini,” kata Jesse Rayman, 22, pelancong dari Belanda yang tiba hari ini. “Saya harap semua orang dapat melancong dengan selamat di masa akan datang, dan virus korona tidak lagi menjadi isu.”

Pelancongan lazimnya menyumbang 50% kepada ekonomi Bali, dan ramai di pulau itu mengharapkan pelancong kembali terutama memandangkan negara jiran bergerak lebih pantas membenarkan kemasukan pelawat.

Thailand dan Filipina telahpun melaksanakan program bebas kuarantin untuk pelancong asing.

Luhut Pandjaitan, menteri yang memantau tindak balas Covid-19 di Jawa dan Bali, berkata hari ini sekiranya program perintis di Bali berjalan lancar, semua pelancong asing ke Indonesia tidak lagi perlu menjalani kuarantin mulai 1 April, malah mungkin lebih awal lagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.