
Bank berkenaan yang diberi masa 10 hari untuk menutup operasi SWIFT masing-masing, termasuk bank kedua terbesar Rusia, VTB, selain Bank Otrkitie, Novikombank, Promsvyazbank, Bank Rossiya, Sovcombank dan VEB.
Pegawai kanan EU menjelaskan, bank berkenaan dipilih berdasarkan kaitannya dengan kerajaan Rusia, manakala bank awam telahpun dikenakan sekatan susulan tindakan Moscow merampas Crimea pada 2014.
“Semua bank yang kami senaraikan di bawah SWIFT adalah berdasarkan kaitan mereka dengan kerajaan Rusia dan secara tidak langsung perang (di Ukraine). Kami tidak membuat sekatan menyeluruh terhadap keseluruhan sistem perbankan,” katanya.
Skerbank, bank terbesar Rusia, dan Gazprombank tidak termasuk dalam senarai itu kerana menjadi saluran utama bagi bayaran minyak dan gas negara itu, yang masih dibeli negara anggota EU walaupun dalam keadaan konflik kini.
Bagaimanapun, kata pegawai itu, dua bank berkenaan masih dikenakan tindakan lain.
EU, AS, Britain dan Kanada pada Sabtu lalu mula menyekat beberapa bank Rusia daripada SWIFT, namun pada peringkat itu tidak mengumumkan bank yang akan terkesan.
SWIFT mempunyai kira-kira 11,000 ahli, dan tiada pesaing global yang jelas.
China telah mewujudkan satu sistem namun pada skala kecil, kata pegawai EU. Selain itu, walaupun wujud sistem tersendiri di Rusia, SWIFT masih digunakan untuk kira-kira 70% transaksi pemindahan di negara itu.