
“Beliau takut dikenakan sekatan dan disebabkan itu akan menjual kediamannya serta sebuah apartmen esok,” kata Ahli Parlimen pembangkang dari parti Labour, Chris Bryant dalam ucapan di Parlimen.
UK telah mengenakan sekatan terhadap lebih 100 individu dan entiti Rusia susulan serangan terhadap Ukraine, namun Abramovich setakat ini belum dikaitkan dengan tindakan seumpama itu.
Bilionair Rusia itu yang juga pemilik Chelsea Football Club sejak itu semakin berdepan sekatan oleh ahli politik di Britain.
Pada Sabtu, Abramovich menyerahkan pentadbiran kelab kepada pemegang amanah yayasan kebajikan kelab.
Bryant berkata, Abramovich tidak patut dibenarkan memiliki sebuah kelab bola sepak Inggeris.
Abramovich yang dianggarkan Bloomberg Billionaires Index mempunyai kekayaan bernilai USD13.5 bilion (RM57 bilion) memiliki beberapa kediaman di London.
Hartanah dimaksudkan Bryant dipercayai melibatkan rumah agam lima bilik di Kensington Palace Gardens bernilai lebih GBP150 juta (RM836 juta) , menurut laporan The Times.
Akhbar itu turut melaporkan, apartmen berkenaan pula berkemungkinan adalah kediaman emper tiga tingkat di Chelsea Waterfront yang dibeli pada 2018 dengan harga GBP22 juta (RM123 juta).
Pada Isnin, jurucakap Abramovich berkata beliau sedang berusaha membantu dalam perbincangan bagi menamatkan perang di Ukraine.