
Serangan berterusan di bandar Kharkiv memusnahkan sebuah sekolah dan mengakibatkan sekurang-kurangnya 11 penduduknya maut, kata datuk bandarnya.
Halaman utama akhbar di Britain memaparkan gambar dua kanak-kanak perempuan yang maut dalam serangan Rusia di Ukraine, dengan memetik seorang doktor yang cuba menyelamatkan mereka berkata: “Tunjukkan ini kepada Putin.”
Setiausaha Keadilan UK Dominic Raab yang juga bekas pendakwa jenayah perang berkata, Britain dan sekutunya akan menunggu selama mana diperlukan untuk mendakwa mana-mana pihak yang melanggar undang-undang peperangan. Kenyataannya merujuk kepada perang era 1990-an di negara bekas Yugoslavia.
“Sebab itu kami mahu memastikan Putin dan komander di Moscow yang berada di Ukraine bahawa mereka jelas akan dipertanggungjawabkan bagi sebarang pelanggaran undang-undang peperangan,” katanya kepada Sky News.
Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di The Hague berkata pada Isnin, ia sedang melakukan siasatan selepas mendapati “asas wajar” berlaku jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Ukraine sejak Rusia merampas semenanjung Crimea pada 2014.
“Kemungkinan besar mereka (Putin, jeneral dan tentera Rusia) akan didakwa di mahkamah di The Hague,” katanya kepada BBC television.
Menurut Amnesty International, bom berangkai Rusia membedil sebuah tadika di timur laut Ukraine pada Jumaat lalu yang digunakan sebagai tempat perlindungan awam, menyebabkan tiga orang termasuk seorang kanak-kanak maut.
Setiausaha Agungnya Agnes Callamard berkata serangan “menjijikkan” di pekan Okhtyrka “wajar disiasat sebagai jenayah perang”.