
Selain itu, rata-rata rakyat Afghanistan yang ditemui Bernama menyuarakan kebimbangan mereka tentang nasib orang awam yang terperangkap dalam konflik itu.
Afghanistan pernah diduduki oleh kedua-dua pihak, iaitu Soviet Union dari 1979 hingga 1989 dan perikatan Amerika Syarikat-Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (AS-NATO), dari 2001 hingga Ogos lalu.
Penterjemah dengan sebuah badan bukan kerajaan Wafa Hamid, berkata dia tidak ambil peduli baik tentang Rusia ataupun AS-NATO.
“Saya gembira tengok mereka bergaduh sesama mereka, kerana ini bermakna mereka tidak akan ganggu kami,” katanya, menambah dia bagaimanapun bersimpati dengan penduduk Ukraine.
Mungkin dipengaruhi oleh tempoh senggang selama beberapa dekad di antara pencerobohan Rusia dan AS-NATO ke atas mereka, segelintir daripada rakyat Afghanistan dilihat memihak Rusia.
Jurujual di Finest Superstore di sini, Zaibiullah Atai, 23, memberitahu Bernama melalui penterjemah, walaupun dia tidak menyokong peperangan, dia juga tidak menyimpan dendam terhadap Rusia.
“Kalau anda tanya ayah dan datuk saya, mereka mungkin kata Rusia lebih bagus (berbanding AS-NATO) buat Afghanistan kerana ia bina jalan, sekolah dan jambatan untuk kami, kemudahan yang kami masih guna hingga sekarang, sedangkan semasa (di bawah) AS, mereka lantik individu korup terajui negara dan apabila mereka keluar dari negara kami, semuanya kembali seperti asal,” katanya.
Tambahnya lagi, peperangan itu juga berlaku jauh dari negaranya.
Bagaimanapun ada yang berasa bimbang mereka akan turut merasai tempias konflik Rusia-Ukraine itu.
“Nidol”, seorang rakyat Afghanistan yang pernah bekerja di pangkalan tentera AS-NATO, risau tentang akibat peperangan itu terhadapnya dan keluarga. Ini kerana sudah berbulan-bulan lamanya mereka menunggu untuk dipindahkan keluar dari Afghanistan.
“Konflik itu akan membawa malapetaka kerana mereka yang tidak bersalah akan mati. Namun, saya bimbang jika ini juga bermakna Eropah dan AS akan lupa tentang saya dan yang lain-lain di Afghanistan,” katanya kepada Bernama.
Menurutnya, terdapat ribuan individu sepertinya yang sedang menunggu dipindahkan, dan pada masa ini mereka hidup dalam ketakutan dengan tindak balas daripada pihak yang berkenaan kerana bekerja dengan kerajaan terdahulu.
Taliban mengambil alih tampuk pentadbiran Afghanistan pada tahun lalu setelah angkatan tentera AS dan NATO berundur secara tergesa-gesa dan kerajaan pimpinan Ashraf Ghani, tumbang.
Dana diikrarkan untuk pembinaan semula negara itu dihentikan dan Afghanistan kini berdepan krisis ekonomi dan perbankan. AS, baru-baru ini, mengumumkan mereka memindahkan US$3.5 bilion aset Bank Pusat Afghan ke tabung mangsa Sept 11, sekali gus menambahkan lagi kemarahan rakyat tempatan terhadap kuasa besar dunia itu.
Kerajaan pimpinan Taliban secara rasmi mengecam peperangan tersebut, menggesa kedua-dua pihak berkonflik menyelesaikan krisis melalui dialog dan secara aman.
“Kami tidak pernah menyokong peperangan. Kami sentiasa mahukan keamanan,” kata Menteri Industri dan Perdagangan Afghanistan Noorudin Azizi kepada Bernama melalui penterjemah.
Rusia menceroboh jirannya Ukraine dua hari lepas, kononnya untuk menghentikan genosid ke atas penyokong Rusia di Ukraine, dan bagi mewajarkan pencerobohan itu, Presiden Rusia Vladimir Putin mengemukakan sedikit bukti yang tidak kukuh. Sebagai tindak balas, NATO dan negara barat melaksanakan sekatan keras terhadap Rusia.
(Tiga wartawan Malaysia termasuk dari Bernama, kini berada di Afghanistan bersama-sama badan bukan kerajaan Global Peace Mission Malaysia bagi memantau dan melaporkan situasi di akar umbi di negara itu. Mereka dijadualkan berada di sana selama seminggu bermula 23 Feb lepas)