
Negara itu melaporkan lebih 15,000 kes baharu Covid-19 dan 17 kematian pada Isnin.
Sempadan antarabangsa Australia dibuka semula kepada pelancong lengkap divaksin, menandakan tamatnya sekatan yang dilaksanakan untuk mencegah penularan virus itu pada Mac 2020, lapor Xinhua.
Sebanyak 56 penerbangan dijadualkan mendarat di Australia dalam tempoh 24 jam, selepas sempadannya dibuka semula.
Menteri Persekutuan untuk Perdagangan, Pelancongan dan Pelaburan, Dan Tehan berada di lapangan terbang antarabangsa Sydney pada pagi Isnin untuk menyambut ketibaan kumpulan pertama pelancong itu.
Kehadiran pelawat antarabangsa lengkap divaksin akan memacu semula sektor pelancongan Australia, yang menyokong 660,000 pekerjaan dan menyumbang AUD60.4 bilion (kira-kira USD43 bilion) kepada ekonomi pada 2018-2019, menurut kenyataan media Tehan pada Isnin.
Sementara itu, Pengerusi Forum Pemimpin Pelancongan Wilayah Canberra, David Marshall berkata industri pelancongan akan mengambil masa sehingga 18 bulan untuk pulih daripada wabak itu.