
Dalam satu kenyataan, jurucakap kerajaan Thailand Thanakorn Wangboonkongchana berkata Prayuth menerima kunjungan hormat daripada Al-Issa di Rumah Kerajaan pada Isnin. Beliau tiba di Bangkok untuk mengadakan pertemuan dengan pegawai Thailand dan pemimpin agama.
Beliau berkata lawatan itu akan membawa kepada kerjasama yang lebih erat dan ketara antara Thailand dan MWL berdasarkan kepentingan bersama.
“Beliau (Prayuth) berharap lawatan Setiausaha Agung MWL akan mengukuhkan lagi hubungan dan persefahaman antara Thailand dan dunia Islam,” katanya.
Thanakorn berkata Prayuth juga menyatakan sokongan kepada pendirian Arab Saudi terhadap “Islam sederhana”, dan mengenai interaksi antara penganut berbeza agama.
“Prayuth juga menegaskan sokongan Thailand terhadap usaha MWL, terutamanya yang bertujuan memperkenalkan bantuan kemanusiaan selaras dengan prinsip Islam, dan merapatkan interaksi antara rakyat pelbagai latar belakang yang membawa keamanan, keadilan dan kewujudan bersama,” katanya.
Sementara itu, Thanakorn berkata Prayuth dan Al-Issa turut mengadakan perbincangan mengenai situasi sempadan selatan Thailand, dengan Setiausaha Agung MWL menyatakan kesediaan untuk menyokong dan membantu dalam membawa keamanan dan ketenteraman kepada negara itu.
Tambahnya, Al-Issa juga memuji Thailand kerana menunjukkan contoh sebuah masyarakat pelbagai budaya yang harmoni.
Ketua MWL itu adalah pelawat peringkat tinggi pertama dari Arab Saudi yang tiba di Thailand sejak pemulihan semula hubungan antara kedua-dua kerajaan itu bulan lalu. Arab Saudi menurunkan hubungan diplomatiknya dengan Bangkok pada 1989.
Pada akhir Januari, Prayuth melawat Riyadh atas jemputan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al Saud.
“Pemimpin MWL turut merakamkan penghargaan kepada dasar kerajaan yang bertujuan menggalakkan dialog antara agama, kebebasan beragama serta keharmonian dalam masyarakat.
MWL, ditubuhkan pada 1962, sebuah pertubuhan bukan kerajaan Islam berpangkalan di Mekah berperanan memperjelas mesej Islam yang sebenar dengan memajukan nilai-nilai menggalakkan kesederhanaan, keamanan dan toleransi.