
Varian itu menyebabkan kes harian mencatat rekod tertinggi, namun vaksinasi yang meluas dengan dos penggalak pertama sudah diberikan kepada 57% daripada 52 juta populasinya, yang membantu mengurangkan kes kematian dan jangkitan serius.
“Individu berisiko tinggi adalah kumpulan pertama yang akan menerima dos keempat, yang juga dos penggalak kedua.
“Kami merancang memberikan dos penggalak kepada mereka yang tinggal di rumah serta fasiliti penjagaan dan lain-lain yang mengalami pengurangan imunisasi, berikutan peningkatan jangkitan dalam kalangan individu berusia 60 tahun ke atas,” kata Menteri Kesihatan Korea Selatan, Kwon Deok-cheol pada mesyuarat tindak balas Covid-19 hari ini.
Sekurang-kurangnya 44.22 juta individu atau 86.2% populasi Korea Selatan sudah lengkap divaksin.
Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KDCA) melaporkan 54,619 kes baharu Covid-19 di negara itu semalam, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan di Korea Selatan kepada 1,405,246.
Sebanyak 21 kematian dicatatkan menjadikan keseluruhan kematian sebanyak 7,102.
Susulan Omicron menjadi dominan bulan lalu, kerajaan Korea Selatan mula mengehadkan pelaksanaan ujian PCR kepada kumpulan berisiko tinggi.
Individu lain perlu menjalani ujian antigen pantas menggunakan kit yang dijual di kedai, atau diberikan secara percuma di pusat kesihatan awam.
Ahad lalu, pihak berkuasa mengenakan tempoh catuan tiga minggu ke atas kit ujian kendiri, dengan mengehadkan jualan dalam talian serta pembelian farmasi kepada lima bagi setiap individu di satu-satu lokasi.
Kwon berkata, kira-kira 30 juta kit ujian kendiri tambahan akan dibekalkan ke seluruh negara itu bulan ini untuk menepis dakwaan kekurangan bekalan itu.
Korea Selatan juga merancang menyediakan 190 juta kit ujian kendiri untuk bulan depan, iaitu dua kali ganda berbanding bekalan bulan ini.