Kerajaan bayangan Myanmar dicalonkan bagi Hadiah Nobel Keamanan

Kerajaan bayangan Myanmar dicalonkan bagi Hadiah Nobel Keamanan

Menurut Ahli Parlimen Norway Ola Elvestuen yang mencalonkannya, NUG adalah 'satu-satunya kerajaan yang sah di Myanmar'.

Penyokong demokrasi pro-Myanmar di London menghadiri tunjuk perasaan bagi menandakan ulang tahun pertama rampasan kuasa oleh junta. (Gambar AP)
OSLO:
Kerajaan bayangan Myanmar telah dicalonkan untuk Hadiah Nobel Keamanan 2022, kata Ahli Parlimen Norway di sebalik cadangan itu semalam, pada ulang tahun rampasan kuasa tentera yang menggulingkan Aung San Suu Kyi.

“Saya mencalonkan ‘Kerajaan Perpaduan Nasional’ Myanmar untuk Hadiah Nobel Keamanan. Ia adalah satu-satunya kerajaan yang sah di Myanmar,” kata Ola Elvestuen, Ahli Parlimen untuk Parti Liberal.

Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG), yang mengaku sebagai kerajaan yang sah di negara itu, ditubuhkan April tahun lepas dan dianggotai oleh Ahli Parlimen pembangkang yang bersembunyi atau dalam buangan, kebanyakannya daripada parti pimpinan Aung San Suu Kyi yang digulingkan.

Beberapa bulan sebelum itu, pada 1 Feb, junta merampas kuasa dengan mendakwa berlakunya penipuan besar-besaran semasa pilihan raya pada penghujung 2020 di mana parti Suu Kyi, Liga Demokrasi Kebangsaan, menang besar.

Suu Kyi, yang memenangi Hadiah Nobel Keamanan pada 1991, berada bawah tahanan dalam rumah di lokasi rahsia sejak rampasan kuasa itu berlaku, menamatkan selingan demokrasi yang singkat untuk negara itu.

Rampasan kuasa tersebut mencetuskan huru-hara di negara itu.

Lebih 1,500 orang awam terbunuh dalam konfrontasi dengan pasukan keselamatan, menurut sebuah organisasi bantuan tempatan.

Semalam, aktivis menyeru agar mogok senyap diadakan untuk menandakan ulang tahun pertama rampasan kuasa.

NUG mempunyai “legitimasi demokratik”, kata Elvestuen.

“Ia membolehkan institusi dan prinsip demokrasi kekal bertahan.”

Tarikh akhir pencalonan Hadiah Nobel Keamanan adalah 31 Jan. Pemenang tahun ini akan diumumkan pada awal Oktober.

Antara pencalonan lain adalah gerakan pembangkang sivil Myanmar, aktivis iklim Sweden Greta Thunberg, ahli alamiah British David Attenborough, Pope Francis dan ketua pembangkang Belarus Svetlana Tikhanovskaya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.