
“Lebih 21 juta kes baharu dilaporkan, mewakili jumlah kes mingguan tertinggi direkodkan sejak wabak bermula,” kata WHO dalam kemas kini epidemiologi mingguannya.
Agensi kesihatan PBB itu berkata, jumlah jangkitan baharu meningkat 5% dalam seminggu hingga Ahad, berbanding kenaikan 20% dicatatkan pada minggu sebelumnya.
“Peningkatan lebih perlahan dalam insiden kes diperhatikan di peringkat global,” kata WHO.
Hampir 50,000 kematian baharu juga dilaporkan, tambahnya, angka yang serupa dengan minggu sebelumnya.
“Epidemiologi global semasa SARS-CoV-2 dicirikan oleh penguasaan varian Omicron pada skala global, penurunan berterusan dalam kelaziman varian Delta, dan peredaran pada tahap yang sangat rendah bagi varian Alpha, Beta dan Gamma,” kata WHO.
“Negara-negara yang mengalami peningkatan pesat dalam kes Omicron pada November dan Disember 2021 telah atau mula mengalami penurunan kes.”
Bagaimanapun, “berdasarkan bukti yang ada pada masa ini, risiko keseluruhan berkait varian Omicron kekal sangat tinggi”.
Menurut WHO, daripada sampel dikumpul sejak 30 hari lepas yang disusun dan dimuat naik ke inisiatif sains global Gisaid, Omicron menyumbang 89.1% kes.
Delta, yang sebelum ini menjadi varian dominan sedunia, hanya menyumbang 10.7%.