
JAKARTA: Sembilan belas orang ditemui mati di sebuah kelab malam yang terbakar berikutan pergaduhan antara dua komuniti di bandar Sorong, wilayah Papua Barat di Indonesia pada awal pagi Selasa.
Jurucakap Polis Wilayah, Adam Erwindi berkata, pergaduhan bermula di Double O Executive Karaoke & Club pada tengah malam yang menyebabkan seorang maut.
Pergaduhan itu kemudiannya berterusan, sebelum bangunan itu terbakar.
“Selepas pergaduhan itu, 18 mayat lain ditemui di dalam bangunan itu, menjadikan jumlah korban meningkat kepada 19 orang,” lapor Xinhua memetik pegawai polis yang memberitahu Metro TV tempatan dalam siaran langsung, sambil menambah beberapa individu turut cedera.
Rakaman televisyen menunjukkan beberapa kereta turut dibakar di luar kelab malam itu.