16 maut, 8 parah kebakaran kelab malam di Cameroon

16 maut, 8 parah kebakaran kelab malam di Cameroon

Kejadian berpunca daripada bunga api dan menyambar bilik utama Kelab Malam Liv di daerah Bastos yang menempatkan kedutaan dan kediaman diplomat.

Tragedi berlaku ketika Cameroon menjadi tuan rumah kejohanan bola sepak Piala Negara-Negara Afrika (AFCON). (Gambar Twitter)

YAOUNDÉ: Kerajaan Cameroon hari ini memberitahu, 16 orang dilaporkan terbunuh dalam kebakaran di sebuah kelab malam yang dipercayai berpunca daripada bunga api, di ibu negara.

Tragedi berlaku ketika negara itu menjadi tuan rumah kejohanan bola sepak Piala Negara-Negara Afrika (AFCON).

“Laporan awal menunjukkan 16 maut dan lapan cedera parah selepas ‘kebakaran tidak disengajakan’, malam semalam,” menurut Kementerian Komunikasi dalam kenyataan.

Api menyambar bilik utama Kelab Malam Liv di daerah Bastos yang menempatkan kedutaan dan kediaman diplomat.

“Ia berpunca daripada letupan bunga api yang sering digunakan di tempat ini, awalnya membakar siling bangunan, mengakibatkan dua letupan sangat kuat serta panik dan rempuhan,” katanya.

“Kami telah mengira, 16 meninggal dunia manakala lima lagi cedera,” kata kenyataan itu lagi.

Seorang pengawal keselamatan yang tiba untuk membantu memadam kebakaran berkata, ia berlaku dengan pantas.

“Kebanyakan pelanggan mula tiba pada jam 3 pagi dan terlalu ramai mangsa.” katanya.

Cameroon menjadi tuan rumah kejohanan AFCON walaupun keganasan kerap berlaku di barat negara itu, di mana militan berbahasa Inggeris mengisytiharkan kemerdekaan daripada negara majoriti berbahasa Perancis pada 2017.

Kedua-dua puak pemisah dan tentera kerajaan didakwa melakukan kekejaman dalam pertempuran, mengorbankan lebih 3,000 mangsa dan memaksa lebih 700,000 melarikan diri

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.