Indonesia akan hasilkan pil antiviral Covid-19 tak lama lagi

Indonesia akan hasilkan pil antiviral Covid-19 tak lama lagi

Dua jenis pil antiviral Covid-19 tempatan, Molnupiravir dan Paxlovid dijangka dihasilkan pada April atau Mei tahun ini.

Indonesia mencatat 1,362 kes Covid-19 pada 18 Jan, jumlah kes harian tertinggi sejak pertengahan Okt 2021. (Gambar AP)
JAKARTA:
Indonesia mensasarkan penghasilan dua jenis pil antiviral Covid-19 tempatan, Molnupiravir dan Paxlovid pada April atau Mei tahun ini.

“Kerajaan akan terus memastikan bekalan ubatan Covid-19 untuk kegunaan domestik mencukupi bagi menghadapi gelombang virus SARS-CoV-2,” kata jurucakap petugas khas Covid-19 kerajaan, Reisa Broto Asmoro dalam sidang media maya.

Kerajaan telah memperoleh 400,000 tablet Molnupiravir untuk merawat Covid-19 melalui syarikat pembekal ubat generik India, PT Amarox Pharma Global.

Molnupiravir yang dibangunkan oleh Merck & Co dan Ridgeback Biotherapeutics dan Paxlovid oleh Pfizer akan dihasilkan di kilang PT Amarox Pharma Global di daerah Bekasi.

Pil antivirus berfungsi memperkenalkan ralat pada kod genetik virus SARS-CoV-2 dan menghalang virus daripada terus berganda.

Negara yang memiliki bilangan penduduk keempat tertinggi di dunia itu menyaksikan jumlah kes Covid-19 didorong varian Omicron meningkat sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Jumlah keseluruhan kes Omicron meningkat kepada 882 kes setakat 14 Jan, manakala 276 pesakit telah sembuh hari ini, kata Reisa.

Indonesia mencatat 1,362 kes Covid-19 pada 18 Jan, jumlah kes harian tertinggi sejak pertengahan Okt 2021.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.