Bunuh hamster besar-besaran, kerajaan Hong Kong dikecam

Bunuh hamster besar-besaran, kerajaan Hong Kong dikecam

Tindakan terbaru kerajaan menyasarkan hamster dan mamalia kecil lain termasuk cincila, arnab dan tikus belanda – tindakan disifatkan pihak berkuasa sebagai “langkah berjaga-jaga”.

Pihak berkuasa memeriksa kedai haiwan peliharaan yang ditutup akibat jangkitan virus korona melibatkan hamster. (Gambar AP)
HONG KONG:
Kerajaan Hong Kong dikecam pada Rabu kerana keputusannya membunuh ratusan haiwan kecil selepas beberapa hamster di sebuah kedai haiwan peliharaan disahkan positif Covid-19.

Seperti China, Hong Kong mempunyai dasar sifar Covid tegas dengan menghapuskan sebarang kesan virus menggunakan pengesanan kontak, ujian besar-besaran, peraturan kuarantin ketat dan penjarakan sosial.

Tindakan terbaru kerajaan menyasarkan hamster dan mamalia kecil lain termasuk cincila, arnab dan tikus belanda – tindakan disifatkan pihak berkuasa sebagai “langkah berjaga-jaga”.

Tindakan drastik itu susulan beberapa hamster dijual di kedai haiwan peliharaan Little Boss disahkan positif varian Delta yang kini jarang dilihat di Hong Kong.

Pihak berkuasa berpakaian PPE lengkap membawa beg sampah merah yang ditandakan amaran biobahaya keluar dari kedai itu pada lewat Selasa.

Pihak berkuasa “amat menggalakkan” sesiapa yang membeli hamster selepas 22 Dis supaya menyerahkan haiwan peliharaan mereka untuk dilupuskan.

Perkara itu mencetuskan reaksi pencinta haiwan di seluruh Hong Kong, dengan petisyen Change.org mendapat lebih 23,000 tandatangan dalam tempoh kurang sehari, manakala Persatuan Pencegahan Penganiayaan Haiwan (SPCA) turut mengecam keputusan itu.

“SPCA bimbang dan terkejut dengan pengumuman terbaru melibatkan lebih 2,000 haiwan,” katanya dalam kenyataan kepada AFP pada Rabu.

“Kami menggesa pemilik haiwan peliharaan ini tidak panik atau mengabaikan haiwan kesayangan mereka.”

Satu kumpulan pencinta hamster berkata ia telah menerima lebih 20 soalan sama ada pemilik haiwan itu perlu menyerahkan haiwan kesayangan mereka.

Pihak berkuasa berkata pada selasa, haiwan yang positif Covid itu dipercayai telah diimport dari Belanda.

“Di peringkat antarabangsa, tiada bukti yang menunjukkan haiwan peliharaan boleh memindahkan virus korona kepada manusia, namun kami akan mengambil langkah berjaga-jaga,” kata Setiausaha Kesihatan Sopha Chan dalam sidang media.

Sementara itu, seorang pemilik hamster memberitahu portal The Standard: “Tiada sesiapapun boleh mengambil hamster saya melainkan mereka membunuh saya.”

Beliau turut merujuk majlis sambutan hari jadi baru-baru ini yang dihadiri pihak berkuasa dan mengakibatkan puluhan jangkitan.

“Adakah mereka juga akan membunuh semua pesakit Covid-19 dan kontak rapat mereka? Jika semua yang menghadiri majlis hari jadi itu dibunuh barulah saya akan serahkan hamster saya kepada kerajaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.