
Sejumlah besar kader Parti Komunis ditahan dalam kempen antirasuah Presiden Xi Jinping dalam beberapa tahun ini, yang menurut pengkritik, turut menjadi cara untuk menyingkirkan musuh politik sejak beliau berkuasa pada 2013.
Siri lima bahagian yang sedang disiarkan stesen televisyen China, CCTV memaparkan pengakuan pegawai didakwa rasuah, termasuk Timbalan Menteri Keselamatan Awam, Sun Lijun.
Sun – yang mengawasi keselamatan di Hong Kong ketika pergolakan selama beberapa bulan – berdepan dakwaan termasuk mengambil rasuah, memanipulasi pasaran saham, memiliki senjata api secara haram dan membayar untuk seks.
Siri televisyen itu mendakwa Sun menerima rasuah secara tetap berjumlah USD14 juta yang disembunyikan dalam “kotak kecil makanan laut” daripada seorang lelaki yang kemudian dilantiknya sebagai Ketua Polis di wilayah timur Jiangsu.
“Saya bantu dia selama ini,” kata Sun dalam program itu.
Ia adalah amalan biasa untuk CCTV menyiarkan “pengakuan” suspek jenayah, termasuk bekas pegawai, sebelum mereka hadir di mahkamah – yang dikecam kumpulan hak asasi manusia.
Satu lagi episod memaparkan Chen Gang daripada Persatuan Sains dan Teknologi China yang dipenjarakan – dikatakan membina kawasan persendirian seluas 72,000 meter persegi yang dilengkapi kediaman gaya Cina, kolam renang dan pantai buatan manusia menggunakan dana haram.
Beberapa lagi individu yang didakwa mengambil rasuah berjuta-juta turut dipaparkan dalam siri televisyen itu.
Mereka yang disabitkan dengan kesalahan rasuah boleh dilucutkan harta, keahlian parti dan berdepan hukuman penjara seumur hidup atau bahkan hukuman mati.
Lebih sejuta pegawai dihukum di bawah kempen antirasuah itu setakat ini.
Wang Fuyu, yang tampil dalam episod kedua siri televisyen itu, dijatuhkan hukuman mati dengan penangguhan hukuman selama dua tahun pada Isnin – sehari selepas pengakuannya disiarkan.
Sebahagian besar daripada ratusan juta pengguna media sosial di China berang dengan kemewahan yang dinikmati pegawai terbabit.
Seorang pengguna media sosial berkata, pegawai terbabit nampaknya tidak menyesal, sebaliknya mereka “menjalani kehidupan mewah” dan “tidak dapat menyembunyikan kebanggaan mereka”.
“Adakah ini iklan pengambilan penjawat awam terkutuk?” tulis seorang pengguna media sosial secara sinis.