
Mumbai mencatatkan 7,895 kes baharu semalam, kali pertama turun ke bawah 10,000 kes sejak awal bulan ini, selepas ia mencatatkan rekod 20,971 kes pada 7 Jan lalu.
Kes di Delhi juga merosot secara konsisten sejak mencapai kemuncak 28,867 kes pada 13 Jan lalu dan dijangka turun ke bawah 15,000 kes hari ini, buat julung kali sejak awal bulan ini, kata Menteri Kesihatan bandar itu.
Dua bandar itu melaporkan lebih 80% katil Covid-19 di hospital kekal kosong sejak penularan varian Omicron yang cepat merebak menyebabkan lonjakan besar jangkitan pada awal tahun ini.
“Dengan jumlah kes sub-klinikal, tidak bergejala dan tidak dikesan yang sangat banyak, ia sukar untuk menentukan kemuncak kes baharu,” kata Rajib Dasgupta, ketua pusat perubatan sosial dan kesihatan komuniti di Universiti Jawaharlal Nehru di New Delhi menerusi e-mel.
“Dalam situasi ini, pemantauan kadar kemasukan ke hospital lebih cermat kerana kes hari ini boleh menjadi kes kemasukan ke hospital minggu depan.”
Pakar epidemiologi lain berkata, kemuncak kes seluruh negara boleh berlaku pada awal atau pertengahan Februari.
Pakar mengaitkan kadar kemasukan ke hospital yang rendah dengan tahap tinggi jangkitan dan vaksinasi terdahulu.
Kira-kira 70% daripada 939 juta orang dewasa di India sudah mendapat vaksin lengkap dan ia berharap 70 juta remaja akan divaksin dua dos menjelang bulan depan.
Kerajaannya menasihatkan negeri meminta hanya individu bergejala Covid-19 menjalani ujian saingan berbanding pemeriksaan rambang seperti sebelum ini yang menjejaskan sumber, khasnya ketika gelombang besar terakhir pada April dan Mei, apabila berjuta-juta orang dijangkiti dan berpuluh ribu meninggal dunia.
Kementerian Kesihatan hari ini memaklumkan 258,089 kes Covid-19 dicatatkan di India dalam tempoh 24 jam lalu, menjadikan keseluruhan 37.38 juta kes, tertinggi di dunia selepas Amerika Syarikat.
Jumlah kematian pula meningkat kepada 486,451 kes secara keseluruhan, susulan 385 kes yang dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu – hampir 40% daripadanya akibat kelewatan merekodkan kematian di Kerala.
Hanya AS dan Brazil melaporkan jumlah kematian Covid-19 lebih tinggi.