Putera Andrew lepas pangkat tentera, naungan diraja ekoran kes serangan seksual

Putera Andrew lepas pangkat tentera, naungan diraja ekoran kes serangan seksual

Pengumuman itu dibuat Istana Buckingham selepas seorang hakim di New York tidak membenarkan putera berusia 61 tahun itu menggugurkan kes terhadapnya.

Putera Andrew, pewaris takhta Britain yang kesembilan, terpaksa berundur daripada tugas diraja pada akhir 2019, susulan wawancara televisyen di mana beliau cuba mempertahankan hubungannya dengan Jeffrey Epstein. (Gambar AP)
LONDON:
Anak kedua Ratu Elizabeth II, Putera Andrew, yang sedang berdepan kes serangan seksual di Amerika Syarikat telah melepaskan peranan ketenteraan dan kebajikannya, menurut Istana Buckingham semalam.

“Dengan kebenaran dan persetujuan Ratu, afiliasi ketenteraan dan naungan diraja Duke of York telah dikembalikan kepada Ratu,” kata Istana dalam kenyataan.

“Duke of York tidak akan terus menjalankan sebarang tugas awam dan akan menghadapi kes ini sebagai rakyat biasa.”

Pengumuman itu dibuat selepas seorang hakim di New York pada Rabu tidak membenarkan putera berusia 61 tahun itu menggugurkan kes terhadapnya.

Andrew, bekas juruterbang helikopter Tentera Laut Diraja Britain yang berkhidmat ketika Perang Falklands 1982, dituduh melakukan serangan seksual terhadap Virginia Giuffre ketika dia berusia 17 tahun.

Giuffre mendakwa mendiang ahli kewangan, Jeffrey Epstein, meminjamkannya kepada rakan sekutunya yang kaya dan berkuasa bagi tujuan seks.

Andrew, pewaris takhta Britain yang kesembilan, terpaksa berundur daripada tugas diraja pada akhir 2019, susulan wawancara televisyen di mana beliau cuba mempertahankan hubungannya dengan Epstein.

Ini mencetuskan kemarahan rakyat, walaupun beliau berulang kali cuba menafikan dakwaan Giuffre, mendorong beberapa badan amal dan persatuan menjauhkan diri daripadanya.

Terdahulu, lebih 150 veteran Tentera Laut Diraja, Tentera Udara Diraja dan Tentera British meminta Ratu agar melucutkan pangkat dan gelaran Andrew dalam angkatan tentera.

Anggota kanan keluarga diraja Britain lazimnya dilantik sebagai ketua kehormat unit tentera, dengan persetujuan Ratu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.