Gempa bumi 6.7 magnitud gegar Pulau Jawa

Gempa bumi 6.7 magnitud gegar Pulau Jawa

Gegaran itu dilaporkan pada kedalaman 10km di bawah dasar laut dan tiada amaran tsunami dikeluarkan.

Gegaran dirasai di Banten, Jakarta, Jawa Barat dan Lampung, hujung selatan Pulau Sumatera, menyebabkan ramai orang meninggalkan rumah dan bangunan dalam keadaan panik. (Gambar Reuters)
JAKARTA:
Gempa bumi dengan magnitud 6.7 menggegarkan Pulau Jawa, Indonesia pada 4:05 petang (Waktu Indonesia Barat), Jumaat, tetapi tiada amaran tsunami dikeluarkan.

Menurut Badan Meteorologi dan Geofizik (BMKG) Indonesia, gempa itu berlaku 52km dari barat daya Sumur-Banten dan 197km barat daya Jakarta.

Gegaran itu dilaporkan pada kedalaman 10km di bawah dasar laut.

Pusat gempa ditentukan berada pada koordinat 7.01 darjah lintang selatan dan 105.26 darjah bujur timur.

Gegaran dirasai di Banten, Jakarta, Jawa Barat dan Lampung, hujung selatan Pulau Sumatera, menyebabkan ramai orang meninggalkan rumah dan bangunan dalam keadaan panik.

Seorang kerani pentadbiran, Herning Rini ketika gempa itu berlaku sedang bekerja di rumah di Kota Depok, Jawa Barat.

“Saya menutup suis komputer peribadi dan suis utama, berlari ke tempat terbuka, jauh dari rumah dan cuba bertenang,” katanya yang terkejut dengan gegaran yang dirasainya itu.

Beberapa jam kemudian, BMKG menurunkan magnitud gempa kepada 6.6. Ia juga menghasilkan beberapa siri gegaran susulan pada magnitud 3.7 dan 3.5.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (BNPB) berkata tiada laporan mengenai kehilangan nyawa.

Penilaian masih di peringkat awal tetapi beberapa rumah rosak di Pandeglang, Banten, kata jurucakap BNPB Abdul Muhari.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.