2 hospital di Xi’an, China diarah ditutup susulan 2 kes pesakit gagal dapat rawatan

2 hospital di Xi’an, China diarah ditutup susulan 2 kes pesakit gagal dapat rawatan

Penutupan itu dilakukan sementara kedua-dua hospital berkenaan 'membetulkan kesilapan'.

Seorang sukarelawan (kiri) menerima barang keperluan harian bagi pihak penduduk di bawah kuarantin di rumah di Xi’an pada 12 Jan. (Gambar AP)
BEIJING:
Dua hospital yang di bandar Xi’an, China yang sedang dikuatkuasakan perintah berkurung, diarahkan ditutup sementara berikutan satu daripadanya menolak untuk merawat seorang wanita hamil lapan bulan yang kemudian kandungannya gagal diselamatkan.

Menurut pihak berkuasa hari ini, penutupan itu dilakukan sementara kedua-duanya ‘membetulkan kesilapan’.

Bandar bersejarah itu adalah antara beberapa kawasan di China yang sedang merekodkan jangkitan Covid-19, dikenakan perintah berkurung yang ketat selama tiga minggu selari strategi ‘sifar-Covid-19’ Beijing.

Susulan insiden itu minggu lalu, pegawai kesihatan tertinggi terpaksa memohon maaf selepas tular di media sosial gambar dan video menyedihkan berkaitan wanita yang dilihat duduk di atas bangku plastik di luar Hospital Gaoxin dalam keadaan dipenuhi darah, hingga mencetuskan kemarahan terhadap peraturan keras yang dikenakan di bandar mega itu.

Wanita itu tidak dirawat berikutan ujian negatif Covid-19 berada sedikit di luar tempoh keperluan 48 jam.

Dalam kejadian berasingan di hospital kedua, seorang penduduk Xi’an berkata bapanya meninggal dunia pada minggu lalu selepas gagal mendapatkan rawatan perubatan untuk penyakit jantung kerana ‘peraturan berkaitan pandemik’.

Kedua-dua hospital itu diberi amaran dan ‘digantung operasi selama tiga bulan supaya dapat membetulkan keadaan’, dan hanya akan dibenarkan dibuka semula selepas mendapat kelulusan.

Sementara itu, Suruhanjaya Kesihatan Xi’an dalam satu kenyataan hari ini, berkata kedua-dua hospital itu ‘gagal melaksanakan tugas untuk menyelamatkan nyawa dan mereka yang cedera’.

“Ini menyebabkan kelewatan dalam tugas menyelamat, memberi diagnosis dan rawatan kepada pesakit kritikal hingga ia membangkitkan perhatian umum sekali gus mengakibatkan kesan sosial yang buruk,” katanya.

Hospital Gaoxin sudah diarahkan untuk menggantung pengurus besarnya dan memecat beberapa kakitangan, sementara di hospital kedua pengerusinya dipecat, serta menggantung jawatan timbalan ketua dan memecat ketua jururawat jabatan pesakit luar.

Kerajaan tempatan menghadapi kritikan meluas mengenai pengendalian krisis itu, dengan ramai penduduk mengadu mereka tidak mempunyai akses kepada makanan dan bekalan harian selepas diberitahu mereka tidak boleh meninggalkan rumah masing-masing.

Jangkitan Covid-19 sudah mula perlahan di Xi’an dalam beberapa hari kebelakangan ini, dengan hanya enam dilaporkan Khamis berbanding 9 Dis lalu ia merekodkan lebih 2,000 jangkitan domestik di bandar berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.