
Gerald Darmanin berkata, masjid di bandar Cannes itu juga didapati menyokong CCIF dan BarakaCity, dua persatuan yang dibubarkan kerajaan akhir tahun lalu kerana menyebarkan propaganda “Islam”.
Darmanin memberitahu stesen penyiaran CNews, beliau berunding dengan Datuk Bandar Cannes, David Lisnard, sebelum menutup masjid itu.
Langkah itu menyusul dua minggu selepas pihak berkuasa menutup sebuah masjid di utara negara itu atas apa yang mereka dakwa sebagai sifat radikal imamnya berdakwah.
Masjid di Beauvais, pekan yang didiami 50,000 penduduk kira-kira 100km utara Paris, ditutup selama enam bulan kerana pihak berkuasa mendakwa khutbahnya menimbulkan kebencian, keganasan serta “mempertahankan jihad”.
Oktober lalu, sebuah masjid di Allonnes, 200km di barat Paris, juga ditutup selama enam bulan disebabkan khutbah yang mempertahankan jihad bersenjata dan “keganasan”, menurut pihak berkuasa wilayah.
Tahun lalu, kerajaan Perancis mengumumkan ia akan memperhebatkan pemeriksaan di rumah ibadat dan persatuan yang disyaki menyebarkan propaganda Islam radikal.
Langkah itu menyusul pembunuhan guru, Samuel Paty pada Oktober 2020, yang menjadi sasaran susulan kempen dalam talian terhadapnya kerana menunjukkan kartun kontroversi Nabi Muhammad diterbitkan majalah satira, Charlie Hebdo dalam kelas siviknya.
Dalam wawancara pada Rabu, Darmanin berkata, 70 masjid di Perancis dianggap “radikal”.
Menurut kementerian itu, terdapat 2,623 masjid dan surau di seluruh negara itu.