Presiden Mexico dijangkiti Covid-19 kali kedua

Presiden Mexico dijangkiti Covid-19 kali kedua

Beberapa jam terdahulu, Andres Manuel Lopez Obrador muncul di hadapan wartawan tanpa memakai pelitup muka dan bersuara serak.

Presiden Andres Manuel Lopez Obrador pulih daripada jangkitan Covid-19 kali pertama pada awal 2021. (Gambar AFP)
MEXICO CITY:
Presiden Mexico, Andres Manuel Lopez Obrador berkata, beliau dijangkiti Covid-19 buat kali kedua dan mengalami gejala ringan, ketika negara itu berdepan satu lagi gelombang jangkitan.

“Saya memaklumkan anda yang saya dijangkiti Covid-19 dan walaupun simptomnya ringan, saya kekal dalam pengasingan dan hanya melakukan kerja pejabat serta berkomunikasi secara maya sehingga saya pulih,” tulisnya di Twitter pada Isnin.

Lopez Obrador berkata, Menteri Dalam Negeri, Adan Augusto Lopez akan menggantikannya dalam sidang media pagi biasa dan acara umum lain sehingga beliau pulih.

Beberapa jam terdahulu, presiden berusia 68 tahun itu muncul di hadapan wartawan tanpa memakai pelitup muka dan bersuara serak, menyebabkan pengkritiknya mendakwa beliau bersikap tidak bertanggungjawab.

Katanya, beliau merancang untuk menjalani ujian saringan Covid-19, tetapi percaya beliau mendapat selsema.

Lopez Obrador pulih daripada jangkitan Covid-19 kali pertama pada awal 2021.

Beliau menerima vaksin AstraZeneca, termasuk suntikan penggalak pada 7 Dis lalu.

Seperti kebanyakan negara, Mexico sedang berdepan gelombang baharu jangkitan Covid-19 susulan kemunculan varian Omicron yang sangat mudah merebak dan tradisi ahli keluarga berkumpul pada akhir tahun.

Jumaat lalu, statistik rasmi kematian Covid-19 di Mexico, yang kelima tertinggi di dunia, melepasi 300,000 kematian, walaupun kematian harian kekal jauh lebih rendah semasa gelombang terdahulu.

Negara dengan 129 juta populasi itu mencatatkan lebih 4.1 juta kes Covid-19, tetapi angka sebenarnya dipercayai jauh lebih tinggi akibat jumlah ujian saringan yang rendah.

Mexico kekal membuka sempadannya ketika pandemik dan pengembara tidak dikehendaki menjalani sebarang ujian saringan atau pas vaksinasi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.