Kerosakan pemanas udara punca pangsapuri Bronx terbakar korban 19 mangsa

Kerosakan pemanas udara punca pangsapuri Bronx terbakar korban 19 mangsa

Sembilan kanak-kanak antara yang maut dalam kebakaran pagi semalam yang disifatkan pihak berkuasa sebagai 'yang terburuk pernah disaksikan bandar itu pada zaman moden'.

Anggota bomba di luar bangunan pangsapuri yang terbakar di Bronx, New York City, semalam. (Gambar AP)
NEW YORK:
Kebakaran besar di sebuah bangunan pangsapuri tinggi di Bronx yang menyebabkan belasan orang maut semalam, termasuk sembilan kanak-kanak, berpunca daripada kerosakan pemanas udara elektrik, kata pihak berkuasa New York City.

“Ia nampak berpunca daripada masalah pemanas udara,” lapor Sputnik, memetik kenyataan Datuk Bandar New York City Eric Adams petang semalam.

Pesuruhjaya Jabatan Bomba New York (FDNY) Daniel Nigro mengesahkan maklumat itu pada sidang media yang sama.

“Kebakaran bermula di sebuah apartmen dua tingkat di aras dua dan tiga bangunan itu. Ia berpunca daripada kerosakan pemanas udara, sehingga mencetuskan kebakaran di apartmen itu … dan sebahagian daripada lorong laluan; malangnya pintu ke pangsapuri itu dibiarkan terbuka ketika penghuni menyelamatkan diri menyebabkan asap hitam tebal memenuhi bangunan tinggi itu dengan cepat,” jelas Nigro.

Terdahulu, Adams mengesahkan sekurang-kurangnya 19 orang, termasuk sembilan kanak-kanak, maut dalam kebakaran yang berlaku pagi semalam.

Anggota bomba berkata, lebih 60 orang cedera dalam kebakaran itu, termasuk 32 dengan kecederaan serius yang mengancam nyawa dan sembilan cedera parah.

Menurut FDNY, kebakaran itu antara yang terburuk pernah disaksikan bandar itu pada zaman moden.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.