Filipina gesa Indonesia tarik balik larangan eksport arang batu

Filipina gesa Indonesia tarik balik larangan eksport arang batu

Manila berkata, larangan itu akan 'memudaratkan' negara yang bergantung kepada arang batu.

Filipina mengimport 2.3 juta tan metrik arang batu dari Indonesia setiap bulan untuk menjana loji janakuasa arang batu negara itu tahun lalu. (Gambar AP)
MANILA:
Jabatan Tenaga Filipina pada Isnin meminta Indonesia menarik balik larangannya terhadap eksport arang batu dengan menyatakan dasar itu akan “memudaratkan” negara yang bergantung kepada arang batu seperti Filipina, lapor Xinhua.

Indonesia menghentikan seketika eksport arang batu pada bulan ini untuk mengelakkan krisis tenaga yang semakin meruncing di negara itu.

Setiausaha Tenaga Filipina, Alfonso Cusi dalam kenyataan menekankan “kerjasama ekonomi sihat antara Filipina dan Indonesia,” dengan menyebut “dasar terbaharu Indonesia akan memudaratkan ekonomi yang bergantung kepada sistem penjanaan tenaga menggunakan arang batu seperti di Filipina”.

Katanya, Filipina memperoleh 2.3 juta tan metrik arang batu dari Indonesia setiap bulan untuk menjana loji janakuasa arang batu negara itu tahun lalu.

“Tenaga yang dijana daripada arang batu merangkumi kira-kira 60% daripada permintaan tenaga negara,” kata Cusi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.