UK kerah tentera bantu hospital hadapi krisis kakitangan

UK kerah tentera bantu hospital hadapi krisis kakitangan

Ia susulan lonjakan kes Covid-19 akibat varian Omicron, dengan lebih 150,000 kes baharu dilaporkan setiap hari sejak minggu lalu.

Anggota paramedik menolak seorang pesakit ke Hospital Diraja London di London pada Khamis.
LONDON:
Kementerian Pertahanan Britain pada Jumaat berkata, ia mula mengerahkan tentera untuk menyokong hospital yang kekurangan kakitangan dan menghadapi tekanan melampau akibat rekod kes Covid-19 tertinggi di negara itu.

Katanya, 200 anggota tentera bersiap sedia untuk menyokong Perkhidmatan Kesihatan Nasional (NHS) di London untuk tiga minggu akan datang.

Britain mencatatkan lonjakan kes Covid-19 akibat varian Omicron, dengan lebih 150,000 kes baharu dilaporkan setiap hari sejak minggu lalu.

Perdana Menteri, Boris Johnson dilaporkan berkata, England dapat bertahan daripada lonjakan itu tanpa sekatan baharu disebabkan vaksinasi dan tahap keseriusan varian lebih rendah, tetapi beliau memberi amaran beberapa minggu yang mencabar kerana kakitangan terjejas akibat pengasingan diri.

Kerajaan turut mengerahkan angkatan tentera untuk membantu proses ujian saringan Covid-19 dan program vaksinasi.

“Sekali lagi, mereka tampil membantu kakitangan NHS yang bertugas sepanjang masa di seluruh ibu kota, membantu perkhidmatan kesihatan melalui musim sejuk sukar ini,” kata Menteri Kesihatan, Sajid Javid.

Britain melaporkan hampir 150,000 kematian akibat Covid-19, dan dua tahun selepas pandemik, NHS berdepan krisis semangat dan kakitangan, walaupun sebelum lonjakan kes, menurut laporan Ahli Parlimen yang disiarkan pada Khamis.

Laporan itu berkata, krisis kakitangan itu boleh menjejaskan usaha untuk mengurangkan rekod senarai menunggu bagi rawatan elektif akibat gangguan Covid-19.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.