Risiko Omicron masih ‘sangat tinggi’, WHO beri amaran

Risiko Omicron masih ‘sangat tinggi’, WHO beri amaran

Omicron menjadi punca lonjakan pesat jangkitan virus di beberapa negara, termasuk negara yang dapat mengatasi varian Delta yang dominan sebelum ini, kata WHO.

WHO melaporkan varian Omicron telah menjadi dominan di Britain dan Amerika Syarikat. (Gambar AP)
GENEVA:
Risiko dibawa varian Omicron masih “sangat tinggi”, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hari ini, setelah kes Covid-19 di seluruh dunia meningkat 11% minggu lepas.

Omicron menjadi punca lonjakan pesat jangkitan virus di beberapa negara, termasuk negara yang dapat mengatasi varian Delta yang dominan sebelum ini, kata WHO dalam kemas kini epidemiologi Covid-19 mingguan.

“Risiko keseluruhan berkaitan varian baharu yang dibimbangi, Omicron, kekal sangat tinggi,” kata agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) itu.

Tambahnya, varian berkenaan telah menjadi dominan di Britain dan Amerika Syarikat.

“Pertumbuhan pesat (virus) ini berkemungkinan hasil kombinasi pengelakan sistem imun dan kebolehtularan intrinsik varian Omicron yang meningkat,” kata WHO.

Bagaimanapun, WHO menyebut penurunan sebanyak 29% dalam insiden kes yang diperhatikan di Afrika Selatan, negara yang pertama kali melaporkan varian itu kepada WHO pada 24 Nov.

Katanya, data awal dari Britain, Afrika Selatan dan Denmark – yang kini mempunyai kadar jangkitan tertinggi di dunia bagi setiap orang – mencadangkan terdapat pengurangan risiko kemasukan ke hospital bagi Omicron berbanding Delta.

Bagaimanapun, data lanjut diperlukan untuk memahami keterukan Omicron dari segi penanda klinikal, termasuk penggunaan oksigen, bantuan pernafasan mekanikal dan kematian.

Lebih banyak data juga diperlukan mengenai bagaimana keterukannya mungkin dipengaruhi oleh jangkitan Covid-19 terdahulu atau vaksinasi.

WHO berkata, pada minggu yang berakhir Ahad lepas, berikutan peningkatan beransur-ansur sejak Oktober, jumlah kes baharu sedunia meningkat sebanyak 11% berbanding minggu sebelumnya, manakala jumlah kematian baharu menurun sebanyak 4%.

Ini membabitkan hampir lima juta kes baharu dan 44,000 kematian, katanya.

Jumlah kes baharu tertinggi dilaporkan di AS, Britain, Perancis dan Itali.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.