
Kementerian Pertahanan Israel dalam kenyataan berkata, Gantz memberitahu Abbas yang beliau berhasrat “terus mempromosikan tindakan bagi mengukuhkan keyakinan dalam bidang ekonomi dan sivil, seperti yang dipersetujui dalam pertemuan terakhir mereka”.
“Dua pemimpin itu membincangkan hal keselamatan dan sivil,” katanya ketika mengulas pertemuan itu yang berlangsung di kediaman Gantz di Rosh HaAyin, tengah Israel.
Lewat Ogos lalu, Gantz melawat ibu pejabat Pihak Berkuasa Palestin untuk rundingan dengan Abbas, mesyuarat rasmi pertama di peringkat sedemikian dalam tempoh beberapa tahun.
Tetapi, selepas rundingan itu, Perdana Menteri Israel, Naftali Bennett berkata, tiada proses damai sedang berlangsung dengan Palestin dan “tidak akan ada” proses sedemikian.
Menteri Hal Ehwal Sivil Palestin, Hussein al-Sheikh menulis di Twitter: “Abbas menemui Benny Gantz untuk membincangkan kepentingan mengadakan rundingan yang membawa kepada penyelesaian politik berdasarkan resolusi antarabangsa.”
Kedua-dua pemimpin itu turut membincangkan “keadaan tegang di lapangan akibat amalan penempatan haram dan isu keselamatan, ekonomi serta kemanusiaan”.
Parti pembangkang Likud mengecam rundingan terbaharu itu membahayakan keselamatan Israel.
“Kerajaan Israel-Palestin meletakkan rakyat Palestin dan Abbas kembali dalam agenda…ia membahayakan Israel,” kata parti itu dalam kenyataan.
Hubungan Israel dan Pihak Berkuasa Palestin, yang berpangkalan di Tebing Barat yang diduduki Israel, merosot dalam beberapa tahun ini.
Pemimpin Likud, Benjamin Netanyahu mengetepikan isu itu ketika beliau menjadi Perdana Menteri dari 2009 hingga Jun lalu, dengan rundingan damai digantung pada 2014, manakala penempatan Yahudi di Tebing Barat diperluaskan.