38 maut dalam runtuhan lombong emas di Sudan

38 maut dalam runtuhan lombong emas di Sudan

Kerajaan negeri dan jawatankuasa keselamatan negeri sebelum ini memutuskan untuk menutup lombong itu atas alasan tidak sesuai untuk aktiviti perlombongan.

Operasi mencari dan menyelamat giat dijalankan di lombong emas Umm Draisaya di Kordofan Barat, sambil disaksikan orang ramai. (Gambar Facebook)
KHARTOUM:
Sekurang-kurangnya 38 pelombong terbunuh dalam runtuhan lombong emas di Kordofan Barat, selatan Sudan, menurut kenyataan sebuah syarikat perlombongan milik kerajaan pada Selasa yang dipetik Xinhua.

“Pengurus Besar Sudanese Mineral Resources Company Limited melaporkan kejadian 38 pelombong maut dalam runtuhan lombong Umm Draisaya,” menurut kenyataan itu.

Lombong emas itu terletak berhampiran bandar El Nuhud di Kordofan Barat, kira-kira 500km dari ibu negara Sudan, Khartoum.

Kerajaan negeri dan jawatankuasa keselamatan negeri sebelum ini memutuskan untuk menutup lombong itu atas alasan tidak sesuai untuk aktiviti perlombongan, menurut syarikat berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, pelombong masih bekerja di lombong itu, walaupun keputusan telah dibuat.

Kira-kira 2 juta rakyat Sudan bekerja dalam industri perlombongan tradisional, termasuk di Laut Merah, Nahr al-Neel, Kordofan Selatan, Kordofan Barat dan Utara.

Menurut statistik rasmi, perlombongan tradisional menyumbang kira-kira 75% daripada jumlah pengeluaran emas di Sudan yang melebihi 93 tan setahun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.