Singapura beku tiket perjalanan bebas kuarantin mulai esok

Singapura beku tiket perjalanan bebas kuarantin mulai esok

Jumlah jualan tiket penerbangan akan dihadkan kepada 50% daripada kuota yang ditetapkan.

Singapura juga akan mengurangkan kuota VTL dan jualan tiket untuk perjalanan selepas 20 Jan depan buat sementara. (Gambar AP)
SINGAPURA:
Singapura akan membekukan semua jualan tiket penerbangan dan bas di bawah program perjalanan bebas kuarantin ke republik itu mulai esok hingga 20 Jan depan, kata kerajaannya hari ini atas alasan risiko penularan varian Omicron.

Di bawah program Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL), Singapura membenarkan pengembara lengkap vaksinasi dari beberapa negara memasuki negara itu tanpa perlu dikuarantin menggunakan penerbangan atau bas ditetapkan.

Tetapi, pengembara perlu menjalani ujian saringan secara tetap.

Singapura membuka laluan itu untuk kira-kira 24 negara, termasuk Australia, India, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Kerajaannya berkata, ia juga akan mengurangkan kuota VTL dan jualan tiket untuk perjalanan selepas 20 Jan depan buat sementara.

Untuk penerbangan, jumlah jualan tiket akan dihadkan kepada 50% daripada kuota yang ditetapkan.

“Langkah (kawalan) sempadan kami akan memberi masa untuk mengkaji dan memahami varian Omicron, serta mengukuhkan pertahanan kami, termasuk meningkatkan kapasiti penjagaan kesihatan kami dan memberi vaksin serta suntikan penggalak kepada lebih ramai orang,” kata Kementerian Kesihatan dalam kenyataan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.