Varian Omicron: Australia kesan jangkitan tempatan pertama

Varian Omicron: Australia kesan jangkitan tempatan pertama

Pelajar yang dijangkiti tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara, kata pihak berkuasa kesihatan NSW.

Australia mengesan sembilan kes Omicron lain, tetapi kesemuanya membabitkan pengembara yang masuk. (Gambar AP)
SYDNEY:
Australia hari ini melaporkan seorang pelajar tanpa sejarah perjalanan ke luar negara disahkan positif varian Covid-19 Omicron, kes jangkitan tempatan pertama dikesan di negara itu.

Kes tersebut dikesan di Sydney, bandar terbesar Australia, walaupun sekatan dikenakan terhadap warga asing masuk dan penerbangan daripada selatan Afrika, di mana varian itu mula-mula dikesan.

Menurut pihak berkuasa kesihatan New South Wales, pelajar itu “tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara atau mempunyai kaitan dengan sesiapa yang mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara”.

Bagaimanapun, katanya, siasatan lanjut dan pengesanan kontak sedang dijalankan.

Australia mengesan sembilan kes Omicron lain, tetapi kesemuanya membabitkan pengembara yang masuk ke negara itu.

Kes terbaru ini menimbulkan kemungkinan Omicron sudah merebak dengan lebih meluas dalam komuniti.

Regents Park Christian School di barat Sydney yang dihadiri pelajar itu telah ditutup dan keluarganya dilaporkan sedang menjalani kuarantin.

Australia mencatatkan kira-kira 2,000 kes Covid-19 sehari.

Kadar kemasukan ke hospital pada masa ini rendah, dan jumlah keseluruhan kematian adalah sebanyak 2,021 kes.

Pihak berkuasa yakin dengan 87% daripada populasi berusia 16 tahun ke atas telah menerima vaksin, Australia bersedia menangani kehadiran varian baharu ini.

Tahap keterukan dan ketahanan Omicron terhadap vaksin sedia ada masih belum diketahui, namun varian ini dikhuatiri lebih mudah menular berbanding Delta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.