EU keluarkan Jordan, Namibia daripada senarai sekatan perjalanan

EU keluarkan Jordan, Namibia daripada senarai sekatan perjalanan

Ia susulan semakan semula peraturan perjalanan semasa Covid-19 oleh EU.

Penumpang berjalan dalam terminal di Lapangan Terbang Barcelona pada Rabu. Warga Jordan dan Namibia kini boleh ke negara EU untuk tujuan tidak penting tanpa mengira status vaksinasi mereka. (Gambar AP)
BRUSSELS:
Kesatuan Eropah (EU) pada Khamis mengeluarkan Jordan dan Namibia daripada senarai negara yang dikenakan sekatan perjalanan Covid-19, selepas menyemak semula peraturan perjalanan semasa pandemik.

Justeru, warga Jordan dan Namibia boleh melakukan perjalanan tidak penting ke negara EU.

Di bawah peraturan baharu yang berkuat kuasa mulai Khamis, penduduk dari Argentina, Australia, Bahrain, Kanada, Chile, Colombia, Indonesia, Kuwait, New Zealand, Peru, Rwanda, Qatar, Arab Saudi, Korea Selatan, Taiwan, Emiriah Arab Bersatu dan Uruguay boleh ke EU untuk tujuan tidak penting tanpa mengira status vaksinasi mereka.

Perkara sama juga tertakluk kepada warga China, sekiranya Beijing memberikan hak sama kepada rakyat EU, lapor Agensi Anadolu.

Senarai perjalanan itu dikemas kini setiap dua minggu, memberi akses ke 27 negara EU dan bukan ahli EU zon Schengen – Iceland, Lichtenstein, Norway dan Switzerland.

Bagaimanapun, kerajaan EU boleh memilih sama ada mematuhi syor itu atau sebaliknya, dan membenarkan pelawat dari negara lain serta menyekat kemasukan, jika mereka tidak lengkap dos vaksin Covid-19.

Minggu lalu, Suruhanjaya Eropah mencadangkan anggota EU membuka sempadan mereka secara beransur-ansur kepada pengembara antarabangsa dan tidak mengambil kira status vaksinasi.

Andai negara anggota EU bersetuju, setiap individu yang menerima vaksin diluluskan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) boleh memasuki blok itu untuk tujuan tidak penting mulai 10 Jan dan senarai negara akan dimansuhkan mulai 1 Mac.

Senarai vaksin WHO antaranya Pfizer-BioNTech, Moderna, AstraZeneca dan Johnson & Johnson, manakala Agensi Ubat Eropah turut meluluskan vaksin Covishield, Covaxin, Sinopharm dan Sinovac.

EU mengenakan sekatan perjalanan sejak Mac lepas untuk membendung penularan Covid-19.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.