
Negara itu, yang hospitalnya paling terkesan akibat lonjakan kedua jangkitan dan kematian pada April dan Mei akibat varian Delta, menyaksikan peningkatan jangkitan dengan kira-kira 10,000 kes harian dicatatkan sejak beberapa minggu lalu.
Tetapi, pengesanan varian Omicron di Karnataka, selatan India ke atas seorang individu yang tiada rekod perjalanan terbaru menimbulkan kebimbangan terhadap gelombang ketiga Covid-19.
Sesetengah pakar epidemiologi berkata, Omicron mungkin kurang membawa maut di India berbanding varian Delta kerana vaksinasi dan jangkitan meluas terdahulu.
“Institusi penjagaan kesihatan di seluruh negara kekurangan doktor pelatih kerana tiada pengambilan dibuat tahun ini,” kata Gabungan Persatuan Doktor Pelatihan India, yang mewakili berpuluh-puluh hospital kerajaan, dalam surat kepada Kementerian Kesihatan.
Kerajaan menangguhkan kemasukan pelajar susulan pertikaian undang-undang berterusan, termasuk berhubung jumlah tempat yang diperuntukkan kepada pelajar miskin.
Nisbah doktor kepada pesakit di India antara paling teruk di dunia, tetapi Perdana Menteri, Narendra Modi baru-baru ini berkata, negara itu akan melahirkan lebih ramai doktor pada dekad akan datang.
Di Hospital Dr Ram Manohar Lohia di New Delhi, pelajar melaungkan “Kami mahu keadilan” dan memegang plakad tertera “Kami manusia, bukan robot”.
Pembantu Menteri Kesihatan, Mansukh Mandaviya tidak menjawab permintaan untuk mengulas.
Data Kementerian Kesihatan menunjukkan 34.62 juta kes Covid-19 dan 470,115 kematian dicatatkan di India setakat ini.