PBB anggar 377,000 maut menjelang akhir tahun akibat perang di Yaman

PBB anggar 377,000 maut menjelang akhir tahun akibat perang di Yaman

UNDP menganggarkan seorang kanak-kanak Yaman berusia lima tahun ke bawah mati setiap sembilan minit akibat konflik itu pada 2021.

Perang Yaman sering dilabelkan bencana kemanusiaan terburuk di dunia. (Gambar Reuters)
DUBAI:
Sebuah agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dalam laporannya yang dikeluarkan Selasa menganggarkan perang di Yaman sejak tujuh tahun lalu akan meragut 377,000 nyawa menjelang akhir tahun ini, melalui kesan secara langsung dan tidak langsung.

Katanya, hampir 60% kematian akan disebabkan kesan tidak langsung seperti kekurangan bekalan air selamat, kelaparan dan penyakit, manakala perang akan membunuh lebih 150,000 orang secara langsung.

Kebanyakan mereka yang terbunuh akibat kesan tidak langsung perang adalah “kanak-kanak kecil yang rentan dan kekurangan zat makanan,” menurut laporan Program Pembangunan PBB (UNDP).

“Pada 2021, seorang kanak-kanak Yaman berusia lima tahun ke bawah mati setiap sembilan minit akibat konflik itu.”

Sebuah gabungan diketuai Arab Saudi campur tangan di Yaman pada awal 2015 untuk menyokong kerajaan ketika itu, selepas pemberontak Houthi yang disokong Iran menawan ibu negara Sanaa beberapa bulan terdahulu.

Sejak itu, pertempuran membawa “kesan bencana kepada pembangunan negara itu”, menurut laporan UNDP.

Agensi PBB itu pernah memberi amaran perang di Yaman, negara termiskin di rantau itu, telah menyebabkan pembangunannya berundur lebih dua dekad.

Perang di Yaman sering dilabelkan bencana kemanusiaan terburuk di dunia.

Dengan mengunjurkan kesan perang berterusan sehingga masa depan, UNDP memberi amaran 1.3 juta orang akan terkorban menjelang 2030.

Menurut laporan UNDP, jika perang berhenti sekarang, akan ada “harapan untuk masa depan lebih cerah di Yaman” yang boleh mencapai status pendapatan sederhana menjelang 2050.

Tetapi, berdasarkan situasi sekarang, ia menjangkakan “keadaan akan bertambah teruk”.

Pertempuran yang semakin meningkat, termasuk antara kereta kebal dan pengeboman berterusan oleh dron dan jet pejuang, menyebabkan kebanyakan kemudahan paling asas di sesetengah kawasan musnah.

Beberapa minggu ini, pertempuran bertambah teruk di beberapa kawasan, kebanyakannya dekat bandar strategik Marib, kubu kuat terakhir kerajaan yang diiktiraf dunia di utara Yaman yang kaya dengan minyak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.