NASA lancar kapal angkasa untuk hentam asteroid

NASA lancar kapal angkasa untuk hentam asteroid

Sasarannya adalah untuk mengubah sedikit trajektori, Dimorphos, objek selebar 160m yang mengorbit Matahari bersama asteroid Didymos.

Roket SpaceX Falcon 9 yang membawa kapal angkasa DART berada di Pangkalan Angkasa Vandenberg di California semalam. (Gambar AP)
WASHINGTON:
NASA sedang menyediakan misi untuk menghentam asteroid dengan kapal angkasa — satu misi ujian jika manusia perlu menghentikan batu angkasa gergasi daripada melenyapkan kehidupan di Bumi.

DART (Ujian Haluan Semula Asteroid Berganda) dilancarkan pada 10.21 malam Waktu Pasifik semalam di atas roket SpaceX dari Pangkalan Angkatan Angkasa Vandenberg di California.

“Semua sistem dan cuaca kelihatan dalam keadaan baik bagi pelancaran Falcon 9 malam ini,” menurut ciapan syarikat Elon Musk itu di Twitter.

Matlamatnya adalah untuk mengubah sedikit trajektori Dimorphos, “anak bulan” selebar 160m yang mengelilingi asteroid lebih besar, Didymos. Kedua-duanya mengorbit Matahari bersama-sama.

Impak dijangka berlaku pada musim luruh tahun depan, apabila sistem asteroid binari ini sejauh 11 juta km dari Bumi, titik terdekat yang dapat dicapainya.

“Apa yang cuba kita pelajari adalah bagaimana untuk melencongkan ancaman,” kata saintis utama NASA, Thomas Zuburchen, mengenai projek bernilai USD330 juta itu, yang pertama seumpamanya.

Asteroid ini tidak memberi ancaman kepada Bumi, namun mereka tergolong sebagai Objek Berdekatan Bumi, iaitu asteroid dan komet yang mendekati Bumi dalam lingkungan 30 juta batu.

Pejabat Pelarasan Pertahanan Planet NASA paling berminat dengan objek berukuran lebih 460 kaki, yang mempunyai potensi memusnahkan keseluruhan bandar dan wilayah dengan kekuatan beberapa kali ganda daripada bom nuklear biasa.

Terdapat 10,000 asteroid berdekatan Bumi berukuran 460 kaki atau lebih yang dikenal pasti, namun tiada yang diketahui akan menghentam Bumi dalam masa 100 tahun akan datang.

Namun begitu, saintis berpendapat, masih terdapat 15,000 objek lagi seumpamanya yang belum ditemui.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.