Selepas 20 tahun, penerbangan awam pertama mendarat di lapangan terbang Jalalabad

Selepas 20 tahun, penerbangan awam pertama mendarat di lapangan terbang Jalalabad

Sebuah pesawat membawa bantuan kemanusiaan dari Iran tiba di lapangan terbang Nangarhar pada Ahad.

Pihak berkuasa wilayah memaklumkan lapangan terbang di Jalalabad bersedia menerima penerbangan domestik dan antarabangsa, selepas semua masalah teknikal dan keselamatan diselesaikan. (Gambar Wikipedia)
KABUL:
Selepas 20 tahun dihentikan, penerbangan awam pertama mendarat di lapangan terbang di bandar Jalalabad di wilayah Nangarhar, timur Afghanistan, lapor Sputnik memetik pengumuman pejabat gabenor pada Ahad.

Pihak berkuasa wilayah pada Sabtu memaklumkan lapangan terbang di Jalalabad bersedia menerima penerbangan domestik dan antarabangsa, selepas semua masalah teknikal dan keselamatan diselesaikan.

“Sebuah pesawat membawa bantuan kemanusiaan tiba dari Iran. Ia penerbangan awam pertama ke lapangan terbang Nangarhar selepas terhenti selama 20 tahun,” menurut kenyataan itu.

Wakil khas Iran untuk Afghanistan tiba di Kabul pada Isnin bagi menemui pegawai kerajaan sementara Afghanistan yang dilantik Taliban. Kedua-dua pihak bersetuju mengukuhkan kerjasama dalam beberapa perkara, termasuk bantuan kemanusiaan.

Taliban menguasai Kabul pada pertengahan Ogos yang menyebabkan kerajaan disokong Amerika Syarikat tumbang, sekali gus mengambil alih seluruh Afghanistan pada awal September.

Kumpulan itu turut mengisytiharkan perang selama beberapa dekad berakhir dan menubuhkan Kabinet baharu yang dipimpin Mohammad Hasan Akhund, bekas menteri luar di bawah pemerintahan Taliban yang pertama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.