AS tawar ganjaran USD5 juta buru ketua kartel dadah Mexico

AS tawar ganjaran USD5 juta buru ketua kartel dadah Mexico

Kesemua individu yang diburu beroperasi bawah Kartel Sinaloa pimpinan El Chapo.

Joaquin ‘El Chapo’ Guzman diekstradisi ke AS pada 2017 di mana dia dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dua tahun kemudian.
WASHINGTON:
Jabatan Negara Amerika Syarikat semalam mengumumkan akan menawarkan sehingga USD5 juta bagi mendapatkan maklumat yang akan membantu pihak berkuasa menangkap dan mensabitkan kesalahan empat ketua kartel dadah Mexico, termasuk saudara kepada pengedar terkenal Joaquin “El Chapo” Guzman.

Saudara kepada El Chapo, Aureliano Guzman-Loera, adik-beradik Ruperto Salgueiro-Nevarez, Jose Salgueiro-Nevarez dan Heriberto Salgueiro-Nevarez turut dikehendaki oleh AS.

Keempat-empat individu ini “didakwa dalam indikmen AS kerana melanggar undang-undang dadah AS, termasuk konspirasi antarabangsa untuk mengedar ganja, kokain, metamfetamin, dan fentanyl”, kata Ned Price daripada Jabatan Negara dalam kenyataan.

Fentanyl opioid sintetik yang sangat berbahaya “bertanggungjawab ke atas lebih 63% daripada 96,779 kematian akibat pengambilan berlebihan di AS antara Mac 2020 dan 2021”, tambah Price.

Kesemua individu terbabit beroperasi bawah payung persekutuan Kartel Sinaloa, salah satu kumpulan pengedaran dadah paling terkenal di Mexico, yang dipimpin oleh El Chapo sehingga dia dipenjarakan.

Dia diekstradisi ke AS pada 2017 di mana dia dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dua tahun kemudian dalam perbicaraan yang diadakan bawah kawalan keselamatan ketat.

Selama lebih sedekad, AS dan Mexico telah bekerjasama untuk memerangi pengedaran dadah bawah program yang dipanggil Inisiatif Merida, dengan AS menyediakan senjata api tentera, sokongan teknikal dan latihan keselamatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.