
Dia kemudian meninggalkan mangsa, Aaron Sorenson, dalam but sebuah kereta selama hampir setahun, menurut polis di Washington.
John Eisenman, 60, dikatakan mengetahui pada Oktober 2020 bahawa anak gadisnya diperdagangkan bagi tujuan seks di Seattle oleh Sorenson, teman lelaki gadis itu, dengan harga USD1,000 (kira-kira RM4,160).
Eisenman berjaya menyelamatkan anaknya dari bandar itu dan membawanya pulang ke Spokane pada bulan sama, lapor sebuah portal berita Australia, news.com.au.
Pada November 2020, Eisenman dipercayai menculik, kemudian menghentak kepala Sorenson dengan objek keras sebelum menikamnya berkali-kali, mengakibatkan kematian mangsa.
Selepas membunuh mangsa, Eisenman memandu kenderaan berkenaan ke sebuah lokasi terpencil di North Spokane County dan meninggalkan kereta berkenaan dengan mayat mangsa masih berada di dalamnya.
Mayat Sorenson yang sedang mereput dijumpai dalam but kereta itu di Spokane, Washington, oleh beberapa individu bulan lepas, kata polis dalam kenyataan.
Polis berkata, Eisenman, yang tidak memiliki rekod jenayah ganas terbaru, telah ditahan dan menyerah diri tanpa insiden.