
Lebih 18 bulan selepas Australia menutup sempadan antarabangsanya, rakyat yang telah lengkap vaksinasi tidak lagi perlu mendapatkan pengecualian untuk meninggalkan negara, kata kenyataan bersama Kementerian Kesihatan dan Kementerian Dalam Negeri.
Keputusan ini dibuat setelah kadar vaksinasi dua dos populasi dewasa negara itu hampir mencapai sasaran 80%.
Menteri Dalam Negeri Karen Andrews berkata, walaupun rakyat Australia masih mendapat keutamaan pada masa ini, sekatan perjalanan lain, termasuk bagi bukan warganegara, akan dilonggarkan seiring dengan peningkatan kadar vaksinasi.
“Sebelum akhir tahun, kami jangka dapat menerima pekerja mahir dan pelajar antarabangsa yang telah lengkap vaksinasi,” katanya.
Perdana Menteri Scott Morrison berkata, Australia kini “sangat hampir” memperkenalkan gelembung perjalanan timbal balik dengan Singapura, yang semalam mengumumkan, rakyat Australia tidak lagi perlu menjalani kuarantin setelah tiba di negaranya.
Penerbangan Qantas ke Singapura dijadualkan disambung semula pada 22 Nov.
“Kami sedang mengerjakan jadual waktu sekitar tempoh itu di mana pemegang visa lain, selain rakyat Australia yang telah lengkap vaksinasi kembali, atau pergi ke Singapura dan kembali, untuk datang ke Australia,” kata Morrison kepada saluran televisyen Channel 7.
Pada 20 Mac tahun lalu, Australia mengenakan antara sekatan sempadan terketat di dunia ekoran wabak Covid-19.
Banyak penerbangan antarabangsa tidak dapat berlepas selama hampir 600 hari, dan perjalanan ke luar negara terhad.