
Polis melepaskan tembakan ke arah lebih 500 orang pada lewat malam Rabu, susulan kemarahan terhadap klip video sebuah al-Quran diletakkan di lutut patung dewa monyet Hindu, Hanuman semasa satu perayaan keagamaan.
Ketua Polis tempatan, Milon Mahmud berkata, ketika kejadian, kumpulan individu itu menyerang sebuah kuil Hindu dan bertempur dengan polis di bandar Hajiganj, selatan Bangladesh, menyebabkan empat maut dan hampir 24 lagi cedera, termasuk 15 anggota polis.
Seorang inspektor polis mengesahkan empat individu ditembak mati.
Polis berkata, majistret tempatan mengarahkan larangan berhimpun di kawasan itu yang menyaksikan tujuh individu ditahan.
Kerajaan Bangladesh mengarahkan siasatan ke atas keganasan itu dan individu terbabit akan dihukum.
“Kerajaan menggesa semua orang menjaga keharmonian agama, keamanan dan keselamatan.”
Sebuah lagi kuil Hindu di daerah timur Cumilla, di mana dakwaan penghinaan kitab suci Islam itu berlaku, turut diserang, kata inspektor polis, Monir Ahmed.
“Keadaan kembali aman sekarang. Ratusan anggota polis, Batalion Tindakan Pantas elit dan pengawal sempadan dikerahkan,” katanya sambil menambah sekurang-kurangnya 40 irang ditahan.
Polis turut bertempur dengan ratusan orang di bandar Zakiganj, timur laut Bangladesh, selepas orang ramai berkumpl di pusat bandar itu untuk memprotes.
“Beberapa individu dan dua anggota polis cedera. Kumpulan itu menyerang dan merosakkan kenderaan polis serta pentadbir tempatan,” kata Timbalan Ketua Polis, Lutfar Rahman.
Akhbar The Daily Star melaporkan kuil dan patung dewa Hindu di dua daerah luar bandar utara Bangladesh dirosakkan, manakala pihak berkuasa meningkatkan kawalan keselamatan di bandar Chittagong, yang mempunyai ramai penganut Hindu.
Penganut Hindu yang merangkumi kira-kira 10% daripada 169 juta populasi Bangladesh, berdepan keganasan sekali-sekala dalam beberapa tahun ini, selalunya berpunca daripada khabar angin yang tersebar di media sosial.
Sekurang-kurangnya lima kuil Hindu dan hartanah dirosakkan pada 2016, susulan catatan Facebook yang menghina sebuah tapak suci Islam.