Polis Thailand ditembak ketika cari penunjuk perasaan anti-kerajaan

Polis Thailand ditembak ketika cari penunjuk perasaan anti-kerajaan

Kejadian berlaku di lokasi penunjuk perasaan anti-kerajaan bertempur dengan polis hampir setiap hari sejak Ogos.

Flat Din Daeng merupakan tempat para penunjuk perasaan anti-kerajaan Thailand yang melarikan diri daripada polis sering berlindung. (Twitter pic)
BANGKOK:
Seorang anggota polis yang mencari penunjuk perasaan anti-kerajaan yang melarikan diri ke flat Din Daeng di Bangkok cedera parah, setelah ditembak di kepala oleh orang yang tidak dikenali.

Media tempatan melaporkan kejadian itu berlaku kira-kira pukul 10.45 malam (waktu tempatan) Rabu, di flet yang terletak berhampiran persimpangan Din Daeng, lokasi penunjuk perasaan antikerajaan bertempur dengan polis hampir setiap hari sejak Ogos.

Flat Din Daeng merupakan tempat para penunjuk perasaan yang melarikan diri daripada polis sering berlindung.

Timbalan jurucakap polis, Kol Kissana Phathanacharoen berkata anggota polis itu dikejarkan ke Hospital Besar Polis.

“Beliau masih dalam keadaan kritikal,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Thai PBS melaporkan sebutir peluru dipercayai menembusi topi keledar pegawai itu dan terbenam di tengkoraknya.

Bulan lalu, penduduk flat Din Daeng telah membuat aduan polis terhadap penunjuk perasaan kerana dikatakan menyerang mereka. Sekumpulan lagi penduduk menuntut ganti rugi atas kerosakan yang disebabkan oleh penunjuk perasaan di flet Din Daeng.

Pada Rabu, Kissana mengatakan para penunjuk perasaan berkumpul di persimpangan Din Daeng dan Jalan Mitmaitree, dan mereka juga melemparkan mercun dan bom ping pong ke arah polis.

“Polis memulakan operasi pada 10.30 malam dengan mematuhi undang-undang dan arahan. Polis menahan 28 penunjuk perasaan,” katanya.

Media tempatan melaporkan mereka yang ditahan termasuk kanak-kanak bawah umur berusia 13 tahun.

Polis forensik dan pasukan pelupusan bom telah memeriksa pangsapuri Din Daeng dan kawasan berhampiran pada Khamis.

Sementara itu, Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha telah menyatakan simpatinya terhadap anggota polis yang cedera parah ketika bertugas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.