Senator Perancis gelar Taiwan sebagai ‘negara’

Senator Perancis gelar Taiwan sebagai ‘negara’

Tindakan Alain Richard yang juga bekas Menteri Pertahanan Perancis itu dilihat mampu mencetuskan kemarahan China yang sememangnya membantah lawatan berkenaan diadakan.

Presiden Taiwan Tsai Ing-wen (kanan) bergambar bersama Alain Richard selepas menyampaikan pingat penghargaan kepada senator Perancis itu, Oktober lalu. (Gambar AP)
TAIPEI:
Ketua delegasi senator Perancis hari ini menggelar Taiwan sebagai sebuah “negara” ketika lawatan ke Taipei, tindakan dilihat mampu mencetuskan kemarahan China yang sememangnya telah membantah lawatan itu diadakan.

Alain Richard, bekas Menteri Pertahanan Perancis, tiba semalam untuk lawatan selama lima hari itu tanpa mengendahkan amalan berulang kali oleh Kedutaan China di Paris.

Dalam ucapan selepas menerima pingat penghargaan oleh Presiden Taiwan Tsai Ing-wen, Richard berkata kedutaan de facto Taiwan di Paris “melakukan yang terbaik dalam mewakili negara kamu.”

Seperti kebanyakan negara, Perancis mengiktiraf China sebagai kuasa rasmi, manakala Beijing menganggap Taiwan sebahagian daripada wilayahnya.

Beijing berusaha mengasingkan pulau itu di persada dunia dan marah jika Taiwan dirujuk sebagai sebuah negara.

Ia telah meletakkan tekanan terhadap kerajaan Tsai sejak kemenangannya pada 2016, malah dengan agresif cuba menghalang ahli politik daripada membuat lawatan ke situ sejak beberapa tahun lalu.

Kedutaan China di Paris memberi amaran bahawa lawatan itu mampu menggugat kepentingan China, hubungan China-Perancis, dan “imej Perancis”, menurut kenyataan di laman webnya.

Duta Beijing menulis surat kepada Richard pada Februari dengan berkata lawatan itu “jelas akan melanggar prinsip satu China dan memberikan mesej salah kepada golongan prokebebasan di Taiwan.”

Kementerian Luar Taiwan menyifatkan lawatan itu “simbolik usaha Taiwan dan Perancis, sebagai rakan demokratik, dalam mempertahankan nilai-nilai bebas dan demokrasi”.

“Kami terharu kerana Senator Richard tidak terkesan dengan desakan… sehingga melakukan lawatan ketiga ke Taiwan,” kata Tsai, semalam.

Richard yang mempengerusikan Kumpulan Persahabatan Taiwan di Senat Perancis, telah melawat pulau itu pada 2015 dan 2018.

Taipei menuduh China menggunakan diplomasi “pahlawan serigala” untuk menyekat lawatan oleh ahli politik negara lain.

Istilah “pahlawan serigala” digunakan untuk menggambarkan sikap agresif China di bawah kepimpinan Presiden Xi Jinping yang turut digunakan oleh kebanyakan diplomat negara itu.

Tahun lepas, Beijing menyelar lawatan oleh Presiden Senat Czech, Milos Vystrcil, sebagai satu “provokasi” selain berazam beliau akan “membayar harga yang tinggi.”

Menteri Pertahanan Taiwan semalam berkata ketegangan antara pulau itu dan China di tahap tertinggi dalam tempoh empat dekad, susulan kira-kira 150 pesawat pejuang China menceroboh zon pertahanan udara Taiwan baru-baru ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.