Australia buka semula sempadan antarabangsa bulan depan

Australia buka semula sempadan antarabangsa bulan depan

Pengumuman itu menyusul memandangkan hampir 80% populasi dewasa di negara itu sudah diberikan vaksin Covid-19.

Dua individu mendayung kayak di Sydney Harbour ketika matahari terbit di Sydney pada Selasa lalu. (Gambar AP)
CANBERRA:
Sempadan antarabangsa Australia akan dibuka semula mulai November, selepas ditutup selama 18 bulan akibat pandemik Covid-19.

Perdana Menteri, Scott Morrison pada Jumaat mengumumkan perkara itu memandangkan hampir 80% populasi dewasa sudah diberikan suntikan vaksin Covid-19, lapor Xinhua.

Di bawah pelan pembukaan semula itu, rakyat Australia dan penduduk tetap yang lengkap divaksin perlu menjalani kuarantin di rumah selama tujuh hari sejurus ketibaan dan bukan 14 hari di hotel seperti sebelum ini.

Namun, ia bergantung kepada negara dan wilayah yang mencapai 80% liputan vaksinasi dalam kalangan mereka yang berusia lebih 16 tahun dan bersetuju melaksanakan kuarantin di rumah.

Projek perintis sedang dijalankan di Australia Selatan dan New South Wales (NSW).

“Inilah masanya untuk kembalikan kehidupan rakyat Australia. Kita perlu bersama memastikan penduduk Australia dapat semula kehidupan yang pernah mereka lalui di negara ini,” kata Morrison kepada wartawan.

Perubahan itu bermakna warga Australia yang lengkap vaksin Covid-19 bebas keluar dan masuk ke negara ini buat pertama kali sejak Mac 2020.

Therapeutic Goods Administration (TGA) mencadangkan vaksin Sinovac dari China dan Covishield dari India turut “diiktiraf” bagi menggalakkan pelajar antarabangsa menyambung semula pengajian di Australia.

Setakat ini, hanya vaksin Pfizer, Moderna, AstraZeneca dan Janssen mendapat kelulusan TGA.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.