Arab Saudi naikkan kapasiti harian jemaah umrah kepada 100,000

Arab Saudi naikkan kapasiti harian jemaah umrah kepada 100,000

Bilangan jemaah solat fardhu turut dinaikkan kepada 60,000 orang, kata Kementerian Haji dan Umrah.

Seramai 10 juta jemaah telah mengerjakan ibadah umrah sejak pelancaran ‘model Umrah yang selamat’ pada 4 Okt 2020, menurut Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi. (Gambar AP)
KUALA LUMPUR:
Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengumumkan kapasiti harian bagi jemaah umrah dinaikkan kepada 100,000 bermula hari ini.

Bilangan jemaah solat fardhu turut dinaikkan kepada 60,000 orang.

Menurut akaun Twitter kementerian itu, pihaknya berkoordinasi dengan agensi-agensi berkaitan dalam melaksanakan pelan strategik yang tertumpu kepada kesihatan dan keselamatan sebagai persediaan menerima 3.5 juta jemaah dan pengunjung sebulan.

Kementerian berkenaan awal bulan lepas mengumumkan seramai 10 juta jemaah telah mengerjakan ibadah umrah sejak pelancaran “model Umrah yang selamat” pada 4 Okt 2020.

Selain itu, ia turut mendedahkan lebih 12,000 visa dikeluarkan kerajaan Arab Saudi bagi menyambut kedatangan jemaah dari seluruh dunia sejak 10 Ogos lalu.

Sementara itu, Jabatan Tertinggi bagi Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi berkata, pihaknya bersedia menerima kedatangan lebih ramai jemaah daripada dalam dan luar negara serta menyediakan perkhidmatan terbaik untuk memudahkan urusan jemaah.

“Segala operasi dan persiapan menyambut kedatangan jemaah mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan semua langkah pencegahan yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi bagi memudahkan jemaah mengerjakan umrah”, katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.