
Kumpulan terdiri daripada enam wanita itu berhimpun di luar sebuah sekolah menengah di timur Kabul, mendesak pelajar perempuan dibenarkan kembali bersekolah susulan larangan dikeluarkan Taliban terhadap golongan itu, awal bulan ini.
Penunjuk perasaan berkenaan membawa kain rentang yang tertulis “Jangan patahkan pen kami, jangan bakar buku kami, jangan tutup sekolah kami,” yang kemudian dirampas pengawal Taliban.
Kumpulan itu turut ditolak, manakala seorang wartawan asing dipukul menggunakan raifal dan dihalang membuat rakaman.
Seorang anggota Taliban juga melepaskan tembakan ke udara menggunakan senjata automatiknya, menurut wartawan AFP yang menyaksikan kejadian.
Penunjuk perasaan dari kumpulan aktivis wanita tempatan itu kemudian berlindung di dalam sekolah berkenaan.
Pengawal Taliban Mawlawi Nasratullah yang memperkenalkan dirinya sebagai ketua pasukan khas di Kabul berkata, penunjuk perasaan berkenaan “tidak mengkoordinasi bantahan mereka dengan pasukan keselamatan.”
“Mereka berhak memprotes di negara ini, sama seperti negara lain. Namun mereka mesti memaklumkan institusi keselamatan terlebih dulu,” katanya.
Bantahan-bantahan kecil diketuai wanita diadakan di bandar di sekitar Afghanistan selepas Taliban merampas kuasa, termasuk di Herat, barat negara itu, di mana dua orang ditembak mati.
Bagaimanapun, tunjuk perasaan semakin berkurangan selepas kerajaan memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap demonstrasi yang tidak mendapat kebenaran.