
Kim Yo-jong, yang menjadi penasihat utama bagi abangnya, dinaikkan pangkat ke Suruhanjaya Hal Ehwal Negara (SAC), di kala sejumlah perubahan diluluskan oleh Dewan Rakyat Agung.
Tidak kurang daripada sembilan anggota suruhanjaya itu dipecat, termasuk salah seorang naib presidennya, Pak Pong-ju, dan diplomat Choe Son-hui, seorang tokoh wanita kanan yang memainkan peranan penting dalam rundingan dengan Amerika Syarikat (AS).
Akhbar rasmi Rodong Sinmun menerbitkan gambar lapan lantikan baharu hari ini, dan Kim Yo-Jong menonjol sebagai orang muda dalam kalangan mereka, dan juga satu-satunya wanita.
Beliau sering dilihat berada di samping abangnya, termasuk pada sidang kemuncak dengan bekas presiden AS, Donald Trump, dan pemimpin Korea Selatan, Moon Jae-in.
Peranan politiknya yang sebenar telah lama menjadi spekulasi, seperti kemungkinan beliau satu hari akan menggantikan abangnya, langkah yang akan menjadikannya pemimpin wanita pertama bagi Korea Utara, yang dikenali sebagai negara konservatif dari segi sosial.
Yo-jong beberapa kali mengecam hebat Washington atau Seoul dalam kenyataan yang disiarkan media tempatan, terutamanya sebelum Korea Utara meletupkan pejabat hubungan bersama yang didirikan oleh Korea Selatan di Kaesong.
Kedudukan juniornya sebagai naib pengarah jabatan jawatankuasa pusat Parti Pekerja yang memerintah negara berkenaan menjadikan kenyataan yang dibuatnya diselubungi kesamaran, dan dalam beberapa kes, beliau secara khusus berkata, ia adalah pandangan peribadinya.
Lantikannya dalam SAC ini adalah jawatan paling tinggi pernah dipegangnya.