
Gempa terbabit menggegarkan daerah Luxian sekitar 120km di barat daya Chongqing dan ia turut dikelilingi kawasan yang menempatkan kira-kira 30 juta penduduk.
Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) meletakkan ukuran gempa berada pada kekuatan 5.4 magnitud namun Pusat Rangkaian Gempa Bumi China mengukur kekuatan itu pada paras 6.0 magnitud dan kedua-duanya meletakkan kedalaman cetek 10km.
Pihak berkuasa gempa bumi negara itu berkata kejadian menyebabkan “dua maut, tiga cedera parah dan 57 mengalami cedera ringan.”
Berpuluh kediaman penduduk di Luxian musnah manakala sebahagian lagi rosak selain rangkaian komunikasi yang menghubungkan ribuan pengguna turut terganggu, kata mereka.
Penyiar tempatan CGTN mengesahkan angka kematian itu dan berkongsi rakaman kamera keselamatan yang menunjukkan situasi gegaran itu hingga menyebabkan beberapa bangunan retak.
Berdasarkan penilaian awal, USGS berkata “kemungkinan berlaku kerosakan besar dan bencana berpotensi menjadi lebih teruk”.
Pihak berkuasa tempatan di Sichuan yang memaklumkan di Weibo berkata gempa itu menyebabkan bekalan elektrik terputus dan menjejaskan kira-kira 62,000 penduduk.