Anak panda gergasi pertama Singapura membesar dengan sihat

Anak panda gergasi pertama Singapura membesar dengan sihat

Anak panda jantan yang belum menjalani pemeriksaan penuh veterinar itu dijaga dengan baik oleh ibunya Jia Jia serta petugas zoo.

Orang ramai berpeluang untuk menamakan anak panda itu sebelum usianya mencecah 100 hari pada 21 Nov 2021. (Gambar Hidupan Liar Singapura/Bernama)
SINGAPURA:
Anak panda gergasi pertama Singapura yang dilahirkan di Sungai Safari di sini pada 14 Ogos membesar dengan sihat.

Anak panda jantan yang belum menjalani pemeriksaan penuh veterinar itu dijaga dengan baik oleh ibunya Jia Jia serta petugas zoo. Hubungan Jia Jia dan pengasuhnya membolehkan anak panda itu dipantau dari jarak dekat dan dapat mengesahkan jantinanya.

“Jia Jia memainkan peranannya sebagai ibu dan menjaga anaknya dengan baik. Oleh itu, pasukan penjagaan panda memutuskan anak panda itu berada di bawah penjagaan ibunya selama yang mungkin untuk kedua-duanya mengeratkan hubungan,” kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pegawai Sains Kehidupan di Wildlife Reserves Singapore (WRS), Dr Cheng Wen-Haur dalam satu kenyataan.

Menurut WRS, anak panada itu mulai menunjukkan tanda hitam yang menonjol di sekitar mata, telinga, dan perubahan pada tubuh badannya berbanding ketika baru dilahirkan mempunyai bulu merah muda.

Bulunya dijangka tumbuh lebih banyak dalam beberapa minggu lagi dan dia akan mula membuka matanya.

Sementara itu, orang ramai berpeluang untuk menamakan anak panda itu sebelum usianya mencecah 100 hari pada 21 Nov 2021.

Maklumat penyertaan boleh didapati di www.wrs.com.sg/pandacub, dan tarikh tutup penyertaan 11.59 malam, 19 Sept.

River Safari itu menjadi tempat tinggal panda gergasi di bawah kerjasama antara China Wildlife Conservation Association dan WRS untuk mempromosikan pemuliharaan panda gergasi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.