
Negara itu berdepan pergolakan sejak rampasan kuasa pada Februari lalu dan serbuan ke atas penentang yang meragut lebih 1,000 nyawa, menurut sebuah kumpulan pemantau tempatan.
Di beberapa kawasan, penduduk setempat – sering menggunakan senapang memburu atau senjata buatan sendiri – membentuk “pasukan pertahanan” untuk melawan tentera.
Tentera junta diserang dengan “senjata kecil atau buatan sendiri” ketika mereka memasuki Kampung Myin Thar di wilayah barat Magway semalam, kata jurucakap tentera, Zaw Min Tun kepada People Media yang disokong kerajaan.
Katanya, tentera yang mengesan anggota “Pasukan pertahanan rakyat” membunuh beberapa anggota, dan merampas 23 senjata.
“Lebih 10 orang dari kampung saya ditembak dan dibunuh,” kata seorang penduduk di Myin Thar yang enggan dinamakan.
Mereka berkata, tentera membakar beberapa rumah selepas pertempuran itu.
Seorang penduduk di Kampung Thar Lin berkata, penduduk tempatan melarikan diri selepas terdengar bunyi pertempuran dan mereka ini berlindung di sebuah biara atau hutan.
Media tempatan melaporkan 10 hingga 15 orang tempatan terbunuh.
Pertempuran membabitkan militia awam dan tentera sebahagian besarnya terhad di kawasan luar bandar, tetapi sekurang-kurangnya enam maut dalam pertempuran senjata di Mandalay pada Jun lalu.
Selasa lalu, berpuluh-puluh menara telekomunikasi milik tentera dimusnahkan, hari sama kerajaan bayangan berusaha menerbalikkan rampasan kuasa denga menggesa “perang pertahanan rakyat menentang junta”.
Junta mempertahankan rampasan kuasanya dengan mendakwa penipuan besar-besaran berlaku dalam pilihan raya pada akhir tahun lalu yang menyaksikan Liga Demokratik Kebangsaan pimpinan Aung San Suu Kyi meraih kemenangan besar.