
Bagaimanapun, skim yang telah lama dinantikan itu dibelenggu dengan bilangan kes tempatan Covid-19 yang meningkat.
Walaupun lebih 80% daripada penduduk negara itu telah mendapat suntikan vaksin, kes harian baharu pada Selasa mencapai rekod tertinggi dalam tempoh setahun, menyebabkan kerajaan menggesa orang ramai mengehadkan aktiviti sosial mereka.
Buat masa ini, Singapura membenarkan individu dari lokasi berisiko rendah, termasuk China, Taiwan serta Hong Kong, untuk memasuki negara itu tanpa melalui kuarantin, tidak kira status vaksinasi mereka.
Bagaimanapun, individu dari kebanyakan negara dan wilayah lain mesti menjalani kuarantin satu atau dua minggu sebaik tiba, sekalipun telah mendapat suntikan vaksin lengkap.
Skim baharu digelar Laluan Pengembara Divaksin itu pada awalnya merangkumi pengembara dari Jerman dan Brunei. Kebanyakannya dijangka tiba dari negara Eropah terbabit memandangkan saiz ekonominya.
Jerman yang pertama dipilih disebabkan kadar vaksinasinya yang tinggi, keadaan Covid yang agak terkawal serta hubungannya dengan Singapura.
Masyarakat Jerman di Singapura amat teruja dengan program baharu itu.
“Saya sangat teruja kerana tidak membuat perjalanan sejak Mac 2020 dan semua rutin hancur,” kata Kirsten Moench yang bertugas di German European School Singapore kepada Nikkei Asia pada Selasa sebelum menaiki penerbangan pulang ke negaranya.
Beliau merancang melawat negaranya selama dua minggu setengah. Penerbangannya kembali ke Singapura kelak akan mengikut skim bebas kuarantin berkenaan.
Mengikut Kedutaan Jerman, hampir 2,000 syarikat negara itu berada di Singapura manakala kira-kira 8,000 rakyatnya berada di situ.
Pembukaan semula sempadan meningkatkan risiko kemasukan kes Covid-19. Susulan itu, kerajaan Singapura amat berhati-hati bertindak “selangkah demi selangkah” namun berharap dapat memperluaskan program bebas kuarantin itu ke wilayah lain dalam beberapa bulan akan datang.
Bagaimanapun, jangkitan baharu Covid-19 semakin meningkat pantas. Kes harian baharu termasuk empat kes import mencapai 332 pada Selasa iaitu rekod tertinggi sejak Ogos tahun lalu.
Lonjakan terbaru itu susulan Singapura melonggarkan peraturannya bulan lalu. Sejak 10 Ogos, individu yang divaksin lengkap boleh makan secara ‘dine in’ di restoran dalam kumpulan sehingga lima orang.
Dengan 80% populasinya telah pun menerima dua suntikan vaksin, lebih ramai orang kini duduk makan di restoran.
Singapura mengalihkan fokus daripada jumlah kes baharu kepada mereka yang menunjukkan gejala teruk. Bilangan itu telah stabil iaitu melibatkan sekitar 30 orang.
Bagaimanapun, kerajaan tetap berhati-hati kerana majoriti kes terbaru melibatkan mereka yang divaksin lengkap.
Pihak berkuasa kini menggalakkan orang ramai mengurangkan aktiviti sosial tidak perlu untuk dua minggu akan datang. Mulai Rabu, interaksi sosial di tempat kerja juga akan dilarang.
Menteri Kewangan Lawrence Wong yang juga pengerusi bersama pasukan petugas khas Covid-19 kerajaan berkata, kerajaan akan meningkatkan ujian saringan di tempat kerja.
Katanya, kerajaan tidak akan menghentikan mana-mana program yang telah diumumkan termasuk Laluan Pengembara Divaksin, tetapi menggesa penduduk republik itu membantu mengurangkan penyebaran virus.
“Jika kita berganding bahu dan terus bekerjasama antara satu sama lain, kita mampu menguruskan risiko seterusnya buka (sempadan) dengan lebih selamat.”